Khalid Samad

MARANG – Kerajaan yakin penduduk Kampung Baru akan bersetuju dengan tawaran baharu yang diberikan untuk membeli tanah bagi pembangunan semula di kawasan itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, hal ini kerana harga RM1,000 bagi setiap kaki persegi itu merupakan tawaran yang cukup baik dan adil.

“Saya cukup yakin bahawa oleh kerana ianya satu tawaran yang baik dan adil, orang Kampung Baru akan mahu duduk berbincang dan mencapai satu persetujuan. Saya yakin orang Kampung Baru boleh melakukannya.

“Tawaran ini juga akan menghasilkan beribu jutawan Melayu yang boleh membawa penambahan hak milik Melayu di Kuala Lumpur yang mana sekarang ini jumlahnya mungkin tidak ramai, tetapi apabila kita bangunkan, dan semuanya untuk orang Melayu maka lagi ramai lah orang Melayu memiliki tanah di Kuala Lumpur. Ini tujuan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat di Kampung Pak Madah di Bukit Payong di sini hari ini.

Khalid pada Khamis mengumumkan kerajaan menawarkan RM1,000 bagi setiap kaki persegi, yang mana RM850 akan dibayar berdasarkan pilihan bentuk pulangan yang dipilih pemilik manakala baki RM150 pulangannya adalah dalam bentuk pegangan saham ke atas Syarikat Tujuan Khas (SPV).

Sebelum itu, pada 21 September lepas, Khalid mengumumkan kerajaan menawarkan RM850 bagi setiap kaki persegi bagi pengambilan tanah tersebut, namun sebahagian besar penduduk berpendapat tawaran harga itu tidak setimpal memandangkan lokasi strategik penempatan itu dan meminta kerajaan mengkajinya semula.

Sementara itu dalam ucapannya, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara meminta Pakatan Harapan (PH) di Terengganu bertindak sebagai pembangkang yang membina dan memantau bagaimana kerajaan negeri yang dipimpin oleh PAS menggunakan Wang Tunai Petroleum (WTP) yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan.

“Kita hendak tentukan ianya (WTP) digunakan dengan baik dan bukan kepentingan politik mereka,” katanya.

Katanya, pembayaran WTP itu juga membuktikan kerajaan PH menunaikan janji dan membuat sesuatu keputusan mengikut peraturan serta undang-undang.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini mengesahkan kerajaan Terengganu telah menerima sebanyak RM1.277 bilion WTP sejak Jan hingga September lepas.

Ahmad Samsuri berkata, RM1.277 bilion itu adalah jumlah selepas Kementerian Kewangan memotong hutang kerajaan negeri 25 peratus, bersamaan dengan RM129 juta. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.