ASHGABAT (Turkmenistan) – Banyak persamaan dalam dasar dan pendekatan antara Malaysia dan Turkmenistan memberikan peluang kepada kedua-dua negara untuk bekerjasama rapat dalam pelbagai bidang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, kerjasama itu boleh dipertingkatkan lagi melalui pelbagai cara termasuk mengadakan pameran perniagaan dan produk dari kedua-dua negara.

“Kami berharap dapat melihat pameran produk dan budaya Turkmenistan di Malaysia, dan kami juga berharap dapat mengadakan pameran yang sama di Ashgabat tahun depan,” kata beliau dalam kenyataan media bersama pada akhir pertemuan dengan Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov di Istana Presiden di sini pada Ahad.

Dr Mahathir berkata, hubungan antara Malaysia dan Turkmenistan tidak begitu kukuh kerana masing-masing kurang mengetahui antara satu sama lain memandangkan kedua-dua negara menjadi milik blok yang berbeza pada masa lalu.

“Tetapi sekarang kita mempunyai peluang untuk bertemu dan mengadakan perbincangan panjang lebar dengan Presiden dan agak jelas kita mempunyai banyak persamaan serta pelbagai perkara yang kita boleh bertukar-tukar pendapat atau maklumat untuk meningkatkan pembangunan negara kita.

“Ia sangat penting apabila kita mempunyai banyak persamaan dan pada masa yang sama bertukar-tukar idea dan maklumat untuk meningkatkan kemajuan negara,” katanya.

Dr Mahathir berkata, lawatan oleh pemimpin tertinggi juga penting dan beliau menjemput Berdimuhamedov untuk melawat Malaysia.

Berdimuhamedov telah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada Disember 2011 dan November 2016.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata Malaysia dan Turkmenistan melihat banyak peluang yang boleh dimainkan dalam hal ehwal antarabangsa, contohnya melalui Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) apabila kedua-dua negara telah menzahirkan kebimbangan terhadap keganasan.

“Semasa Sidang Kemuncak NAM, kita melihat daripada ucapan yang dibuat bahawa Malaysia dan Turkmenistan mempunyai pandangan yang sama. Kami sangat prihatin terhadap keganasan di dunia dan saya telah menjelaskan bahawa ada sebab untuk keganasan … jika kita mengenal pasti sebabnya dan cuba untuk menghapuskan keganasan, mungkin kita akan dapat mengurangkan keganasan, dan bahkan menghapuskannya.

“Ini suatu yang kita dapati banyak negara berkuasa tidak mahu lakukan untuk mengenal pasti sebab dan juga bertindak untuk mengurangkan keganasan. Tindakan ketenteraan sahaja tidak akan menghapuskan keganasan,” tegasnya.

Terdahulu, Dr Mahathir yang dalam lawatan rasmi dua hari bermula hari ini, telah diberikan sambutan rasmi di Dataran Presiden dan ketibaan beliau disambut Berdimuhamedov.

Selepas lagu kebangsaan Malaysia dan Turkmenistan dimainkan, perdana menteri memeriksa barisan kawalan kehormat.

Dr Mahathir dan Berdimuhamedov, kemudian mengadakan mesyuarat terhad diikuti oleh mesyuarat dua hala dan majlis pemeteraian program kerjasama.

Program berkenaan melibatkan Pertukaran Nota Program Kerjasama antara Kementerian Luar Malaysia dan Turkmenistan untuk 2020/2021; serta Pertukaran Nota Kerjasama Akademi-Diplomatik antara kedua-dua kerajaan.

Delegasi Malaysia termasuk Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. – Bernama