Pesawat Southwest

PHOENIX, Arizona – Seorang pramugari memfailkan saman terhadap Southwest Airlines selepas beliau melaporkan penemuan yang menggusarkan dalam kokpit pesawat.

Saman yang difailkan oleh Renee Steinaker mendakwa kejadian berlaku ketika bertugas dalam penerbangan antara Pittsburgh dan Phoenix apabila beliau memasuki kokpit bagi membolehkan salah seorang juruterbang meninggalkan kokpit untuk ke tandas.

Permintaan seperti itu adalah lazim kerana polisi Southwest Airlines memerlukan dua individu berada dalam kokpit setiap masa, menurut saman yang difailkan Steinaker.

Ketika Steinaker memasuki kokpit, wanita itu mendapati terdapat sebuah iPad dilekatkan di cermin pesawat yang menunjukkan rakaman tandas pesawat tersebut yang mana juruterbang terbabit baharu sahaja memasukinya.

Steinaker berkata, pembantu juruterbang yang kekal berada di dalam kokpit kelihatan ‘panik’ apabila menyedari beliau melihat apa yang terpapar dan pembantu juruterbang itu memberitahu bahawa rakaman tersebut adalah langkah keselamatan rahsia yang baharu.

Steinaker berasa ragu-ragu dan mengambil gambar imej yang terpapar itu, menurut saman tersebut.

Steinaker juga mendakwa bahawa apabila pesawat tersebut mendarat di destinasi, kedua-dua juruterbang itu meninggalkan pesawat dengan tergesa-gesa – bertentangan dengan polisi Southwest.

Malah juruterbang yang telah pergi ke tandas tertinggal senjata api yang berisi peluru, juga bertentangan dengan polisi syarikat, menuurut saman tersebut.

Steinaaker kemudian membuat laporan mengenai insiden yang berlaku pada 27 Februari 2017 kepada syarikat penerbangan tersebut.

Ketika itu beliau dan suaminya, yang merupakan pramugara Southwest Airlin es, mula mengalami apa yang mereka percaya sebagai balas dendam.

Saman tersebut mendakwa syarikat penerbangan berkenaan telah membenarkan dua juruterbang untuk terus bertugas dan Steinaker dan suaminya telah diintip dan dipantau oleh pengurus meraka ‘dalam bentuk ancaman dan aneh’,

Pasangan tersebut berkata, mereka tertakluk kepada audit prestasi yang lebih banyak.

Dalam satu kenyataan yang disediakan kepada The Arizona Republic, Southwest Airlines berkata: ” Keselamatan dan kesejahteraan kakitangan dan pelanggan kami merupakan keutamaan Southwest yang tidak boleh dikompromi.

“Southwest tidak meletakkan kamera di tandas pada pesawat kami. Pada masa ini, kami tidak membuat ulasan terhadap dakwaan itu,”. – Agensi