Datuk Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Johari Abdul Ghani mencabar Kementerian Wilayah Persekutuan membeli tanah mana-mana pemilik dan pewaris Kampung Baru yang sudah bersedia untuk menjual tanah mereka pada harga RM1,000 sekaki persegi terlebih dahulu tanpa menunggu persetujuan semua pemilik lain.

Bekas Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, jika kerajaan bersungguh-sungguh mahu membangunkan Kampung Baru, maka tidak perlu menunggu semua orang menjualnya.

Sebaliknya, kerajaan boleh membeli tanah dan menyerahkan wang seperti yang ditawarkan kepada penduduk dan pewaris yang mahu menjual tanah mereka tanpa mengenakan syarat-syarat yang tidak munasabah.

“Kementerian Wilayah Persekutuan gunalah Perbadanan Kampung Baru, buka satu meja dan mana-mana pemilik tanah Kampung Baru yang setuju nak jual, sign agreement, kerajaan bayarlah duit. Janganlah tunggu pemilik lain bersetuju dulu. Barulah nampak keikhlasan tawaran tersebut”.

“Kalau ada yang setuju jual, beli dulu lah. Tapi kalau nak tunggu semua orang (jual), itu nampak wayang,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam pertemuan di sini.

Beliau mengingatkan bahawa bukan mudah untuk membangunkan projek bersepadu di Kampung Baru seperti Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia kerana kedua-duanya milik kerajaan.

Tetapi, di Kampung Baru, 230 ekar tanah itu adalah milik lebih 5,000 orang pemilik dan pewaris.

Secara sinikal, Johari berkata, dulu Pakatan Harapan semasa menjadi pembangkang begitu beria-ia memperjuangkan isu letak kereta di Kampung Baru.

“Sehingga hari ini satu tempat letak kereta pun tak buat lagi. Kalau tempat letak kereta pun tak boleh buat, hendak cerita apa.

“Dulu beria-ia kata Kampung Baru takda parking, sekarang betulkan infrastruktur dulu, longkang longkang tu patut dibesarkan supaya tidak banjir. Pastikan kebersihan di setiap kawasan tanah di Kampung Baru” ujar beliau.

Menjawab satu soalan, Johari berkata, ketika menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa, beliau tidak pernah sesekali menetapkan harga tanah Kampung Baru.

Menurutnya, banyak tokoh korporat memiliki tanah di Kampung Baru  seperti Tan Sri Azman Hashim dan Datuk Kamaruddin Meranun.

“Tan Sri Azman Hashim ada tanah, adakah kerajaan hendak tawar RM1,000 kepada beliau sedangkan beliau pun boleh bangunkan tanahnya.

“Sewaktu menjadi wakil rakyat, kerajaan bangunkan pasar minggu kerana tanah itu milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Saya mahu tunjukkan bahawa tanah Kampung Baru boleh dibangunkan dengan mengekalkan status tanah millikan Melayu”

Beliau yang agak pesimis dengan kesungguhan kerajaan terhadap pembelian tanah Kampung Baru dengan syarat yang ditetapkan.

“Hutang negara sehingga Jun 2019 mencecah RM800 bilion dan akan naik lagi selepas Belanjawan 2020 melebihi RM850 billion.

“Lebih baik Kementerian Wilayah Persekutuan cari duit untuk diperuntukan membaik pulih prasarana, seperti bina tempat letak kereta bertingkat ke. Dulu pandai komen,” katanya. – MalaysiaGazette