Jagdeep Singh Deo
Jagdeep Singh Deo

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang telah menerima sejumlah 95,125 bantahan berhubung peningkatan kadar penilaian hartanah sejak tempoh bagi mengemukakan rayuan bagi kenaikan kadar itu tamat pada 14 Okt lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Negeri, Kerajaan Tempatan dan Perancang Bandar dan Desa Jagdeep Singh Deo berkata Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) masing-masing telah menerima 54,459 dan 40,666 bantahan.

“Sesi pertama pendengaran bantahan akan bermula esok bagi bahagian pulau dan tanah besar antara 9 pagi hingga 12 tengahari dan akan berterusan sehingga Mac tahun hadapan,” katanya pada satu sidang akhbar hari ini.

Menurut beliau sebanyak 60 bantahan yang diterima MBPP akan diproses Dewan Majlis Bandaraya Pualau Pinang manakala MBSP akan memproses 289 rayuan di Komplek Sukan Bertam.

“Dari semasa ke semasa MBPP akan mempunyai tiga jawatankuasa di tiga lokasi berbeza di pulau bagi sesi pendengaran manakala MBSP akan mempunyai enam jawatankuasa di empat lokasi di tanah besar,” katanya.

Katanya pemilik hartanah yang telah mengemukakan rayuan akan menerima notis mengenai tarikh sesi pendengaran rayuan yang perlu mereka hadiri.

— BERNAMA