Bangunan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) serta agensi dan kementerian berkaitan akan melakukan pemeriksaan dan pemantauan ke atas premis-premis disyaki membawa masuk babi, produk babi atau daging babi secara tidak sah.

MoA dalam kenyataan hari ini menjelaskan, langkah tersebut dilakukan susulan makmal Kesihatan Awam Veterinar, Bandar Baru Salak Tinggi, mengesan DNA virus African Swine Fever (ASF) dalam produk ‘canned luncheon pork’ yang diimport dari China di Sarawak pada Jumaat lepas (25 Okt).

“Walaupun Malaysia kini masih bebas ASF, MoA memandang serius penemuan di Sarawak itu dan mengingatkan orang awam agar tidak membeli produk babi yang berasal negara-negara yang berisiko.

“Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya ada pihak yang membawa masuk babi dan produk babi secara tidak sah atau diseludup,” katanya.

Menurut MoA, setakat ini, wabak ASF telah disahkan melanda 10 negara Asia iaitu China, Mongolia, Vietnam, Kemboja, Korea Utara, Laos, Myanmar, Filipina, Korea Selatan dan Timor Leste.

Penyakit ASF berpunca daripada virus famili Asfaviridae, merupakan penyakit demam berdarah akut yang menyerang ternakan babi dan babi liar, di mana boleh menyebabkan 100 peratus kematian dalam tempoh dua hingga 10 hari ke atas babi yang dijangkiti. Bagaimanapun, penyakit ASF tidak bersifat zoonotik, iaitu tidak menjangkiti manusia.

“Sebagai langkah pencegahan kemasukan virus ASF ke dalam negara, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengeluarkan surat larangan pengimportan babi serta produk dari China (12 Nov 2018), Poland dan Belgium (17 Jan 2019), Thailand dan Vietnam (23 Jan) Kemboja (4 April), Hong Kong (14 Mei) serta Myanmar dan Laos (26 Ogos).

“Malah Sarawak juga telah mengeluarkan larangan pengimportan produk berasaskan babi ke atas negara-negara yang dijangkiti ASF semalam, selepas DNA virus ASF dikesan dalam produk canned luncheon pork yang diimport dari China,” jelas kenyataan tersebut.

MoA berkata pada masa yang sama, adalah menjadi kewajipan mana-mana pemilik ternakan babi di bawah Seksyen 31, Akta Binatang 1953 (Akta 647) untuk melaporkan segera babi yang disyaki berpenyakit atau mati kepada pihak berkuasa veterinar, serta tidak boleh memindahkannya tanpa kebenaran.

“Kegagalan melaporkannya boleh didenda tidak melebihi RM25,000,” menurut kenyataan tersebut.

Sebanyak enam pelan telah dirangka MoA melalui DVS dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bagi membendung penularan ASF dari memasuki negara ini termasuk pemeriksaan di pintu masuk, pengumuman dalam penerbangan dan pemeriksaan bagasi.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast