Gambar hiasan

BANGKOK – Seorang rakyat Malaysia dipercayai lemas ketika melakukan aktiviti snorkeling di Pulau Poda, Ao Nang, Wilayah Krabi, Thailand semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi (waktu tempatan), mangsa, Muhamad Hafizee Supie, 25, seorang juruteknik dari Ledang, Johor, melancong ke Pantai Ao Nang bersama rakan sekerjanya.

Pegawai Penyiasat Pejabat Polis Daerah Ao Nang, Kapten Nakorn Chartthai berkata pasukan sukarelawan yang berada di tempat kejadian telah memberi bantuan pernafasan (CPR) terhadap mangsa di tempat kejadian namun gagal.

“Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Krabi kira-kira 10 pagi dan disahkan meninggal dunia kira-kira 12.20 tengah hari (waktu tempatan),” katanya kepada Bernama.

Jenazah ditempatkan di Hospital Krabi sebelum dibawa pulang ke Malaysia.

Sementara itu, kakak tiri mangsa, Siti Saadiyah Ismail berkata Muhamad Hafizee, anak kelima daripada enam adik-beradik itu merupakan seorang juruteknik di sebuah syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

“Muhamad Hafizee mengikuti rombongan syarikat ke Krabi dengan menaiki bas pada Khamis dan dijangka pulang ke Malaysia pada Selasa.

“Kami dimaklumkan kejadian itu oleh rakan sekerjanya kira-kira 4 petang (waktu Malaysia),” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata keluarga sedang berurusan dengan wakil Konsulat Malaysia di Songkhla untuk membawa balik jenazah Muhamad Hafizee ke Malaysia. — BERNAMA