Bank Negara
Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Satu serbuan telah dibuat ke atas RSI International Bhd selepas syarikat itu menggunakan perkataan “bank” pada papan tanda pejabat mereka tanpa kelulusan bertulis daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Serbuan itu dilakukan 23 Oktober lepas di RSI di Cheras.

BNM dalam satu kenyataan berkata, semasa serbuan, dokumen dan peralatan komputer yang berkaitan telah dirampas untuk membantu siasatan.

Ia menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 139 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 bagi mana-mana pihak untuk menggunakan perkataan ‘bank’ tanpa kelulusan bertulis melainkan jika orang itu dilesenkan di bawah akta tersebut untuk menjalankan perniagaan perbankan atau perniagaan pelaburan perbankan.

“Jika sabit kesalahan, individu berkenaan boleh dipenjarakan sehingga tidak melebihi lapan tahun atau didenda tidak melebihi RM25 juta atau kedua-duanya,” kata kenyataan yang sama.- MalaysiaGazette