Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir di empat buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kuala Selangor terus meningkat dengan seramai 869 orang telah ditempatkan di pusat itu setakat jam 8 pagi ini.

Smart Selangor Command Centre (SSCC) dalam satu kenyataan berkata, PPS Sekolah Kebangsaan (S.K) Parit Mahang kini menempatkan 600 mangsa daripada 167 keluarga berbanding 591 mangsa daripada 164 keluarga, semalam.

“Turut menunjukkan peningkatan ialah di S.K Pasangan, yang mencatatkan 150 mangsa daripada 50 keluarga berbanding 117 mangsa daripada 37 keluarga semalam, manakala dua lagi PPS iaitu di S.K Jaya Setia dan S. K Ijok pula kekal dengan masing-masing 47 mangsa daripada 16 keluarga dan 72 mangsa daripada 49 keluarga,” katanya.

Kenyataan itu menyebut SSCC akan terus memantau situasi banjir di kawasan terlibat selain menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan nasihat bahawa Lekukan Tropika yang dijangka berlaku berhampiran perairan Sabah.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pagi ini, MetMalaysia memaklumkan berdasar percerapan pada jam 5 pagi tadi, Lekukan Tropika itu dikesan terbentuk pada Latitud 11.7 Utara dan Longitud 115.9 Timur, kira-kira 545 kilometer ke Barat Laut Kudat, Sabah.

Ribut itu dijangka bergerak ke arah barat dengan kelajuan 20km/j dengan kelajuan angin maksimum 60km/j.

“Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Laut China Selatan,” menurut kenyataan itu. – MalaysiaGazette