Dr. Mohd Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan pemetaan kawasan titik panas ekonomi bagi mengenal pasti kawasan luar bandar berpotensi menjadi pusat ekonomi mampan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin memberitahu Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, langkah itu selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 (WKB 2030) dan pemilihan akan dilakukan berdasarkan kekuatan serta keunikan sesuatu kawasan itu bagi meningkatkan lagi ekonominya.

“Terdapat 15 cadangan aktiviti pertumbuhan ekonomi utama antaranya tumpuan kepada pertanian pintar dan bernilai tinggi termasuk penggunaan teknologi yang mesra alam sekitar secara lebih meluas.

“Selain itu penekanan juga diberikan kepada penghasilan produk hiliran daripada hasil sawit dan getah supaya dapat menjana nilai tambah dan pulangan tinggi.

“Penekanan baharu itu untuk mengembangkan ekonomi merentasi luar bandar sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan melahirkan usahawan berpendapatan tinggi dan seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat di kawasan tersebut,” katanya pada sesi jawab lisani.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PH-Beluran) yang ingin tahu perancangan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan luar bandar bagi merapatkan jurang pendapatan masyarakat bandar dan luar bandar selaras dengan WKB 2030. – MalaysiaGazette