Petroliam Nasional Bhd (Petronas)
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) melalui anak syarikatnya, Petronas LNG Sdn. Bhd. (PLSB) memeterai perjanjian Time Charter Party (TCP) dengan MISC Bhd. dan Avenir LNG Limited bagi sewaan sebuah kapal penyimpan gas asli cecair (LNG) sebanyak 7,500 meter padu.

Kerjasama tersebut meletakkan Petronas di antara penyedia perkhidmatan penyimpanan bahan api pertama di Asia Tenggara sekali gus bergerak ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab penyimpanan LNG.

Kapal penyimpan LNG itu mempunyai keupayaan untuk menyediakan perkhidmatan menyimpan bahan api kepada kapal-kapal yang menggunakan LNG di seluruh Malaysia.

Selain itu, ia juga boleh menghantar kargo-kargo LNG berskala kecil ke seluruh rantau.

Menurut Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG dan Ketua Pegawai Eksekutif PLSB, Ahmad Adly Alias, Petronas sentiasa mencari jalan untuk mengguna pakai teknologi terbaharu menerusi kerjasama pintar dan mempromosikan LNG sebagai bahan api yang lebih bersih.

Syarikat petroleum negara itu juga mempromosikan LNG sebagai pilihan kepada industri marin.

“Kami juga bekerjasama dengan pelbagai kementerian, pihak berkuasa dan pemain-pemain industri yang lain untuk sama-sama membangunkan dasar, garis panduan dan prosedur selamat serta berkesan dalam operasi penyimpanan bahan api sejajar dengan peraturan IMO 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, Petronas telah membangunkan prasarana yang sewajarnya bagi perkhidmatan penyimpanan LNG di Pengerang, Johor dan Sungai Udang, Melaya.

Syarikat tersebut juga sedang aktif untuk membangunkan Rangkaian Penyimpanan LNG Global melalyu kerjasama-kerjasama dengan pengendali pelabuhan dan pemain-pemain industri antarabangsa.-MalaysiaGazette