Aidil Sharin Sahak.

ALOR SETAR – Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak diyakini mempunyai ramuan tersendiri memastikan skuad Lang Merah memberi tentangan sengit kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 Sabtu ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah, Mohd. Asmirul Anuar Aris berkata, walaupun dua tonggak utama pertahanan Kedah, Mohd. Rizal Ghazali dan Renan Alves tidak dapat beraksi, beliau optimis jurulatih dari Singapura itu mempunyai idea dan formula terbaik untuk Kedah mengatasi JDT.

“Daripada segi persiapan saya rasa pemain sudah bersedia dan akan bermain bersungguh-sungguh. Saya rasa Aidil mempunyai fomat sendiri seperti mana perlawanan final Piala FA bertemu Perak Julai lepas dengan meletakkan Amirul Hisham sebagai pengganti Renan.

“Kali ini, saya tak pasti siapa akan menggantikan dua pemain itu, kita beri sokongan penuh kepada beliau untuk meletakkan sesiapa sahaja yang mempunyai semangat juang tinggi dan setaraf mereka,” katanya semalam.

Renan Alves dan Mohd. Rizal tidak dapat beraksi pada perlawanan Sabtu ini kerana digantung permainan selepas masing-masing mengutip dua kad kuning pada aksi suku akhir dan separuh akhir sebelum ini.

Mohd. Asmirul juga berharap semua pemain dapat menunjukkan prestasi terbaik pada pertemuan itu serta mempamerkan keyakinan diri selain mengikut setiap arahan taktikal yang direncanakan jurulatih.

Mengulas mengenai penjualan tiket perlawanan akhir itu untuk penyokong Kedah, Mohd. Asmirul berkata, setiap individu dihadkan pembelian tiga keping tiket sahaja yang akan dijual di kaunter Stadium Darul Aman pada Khamis ini.

Sebanyak 26,610 keping tiket akan dijual mulai 10.30 pagi di mana daripada jumlah itu 25,860 adalah tiket dewasa berharga RM50 dan 750 keping tiket pula untuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah yang berharga RM5.

“Penyokong juga dinasihatkan agar mendapatkan tiket terus dari kaunter jualan atau secara dalam talian dan tidak melalui pihak ketiga bagi mengelak ditipu.

“Mereka juga tidak perlu datang awal dan tidur di persekitaran stadium untuk mendapatkan tiket kerana jumlah tiket kali ini mencukupi,” katanya.

Kedah melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia menerusi kelebihan gol di tempat lawan selepas mencatat keputusan agregat 8-8 menewaskan Pahang pada peringkat separuh akhir. – MalaysiaGazette