Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini melakukan lawatan mengejut ke Kampung Baru Cina di Benta, Kuala Lipis di mana 22 orang tinggal sehelai sepinggang selepas kebakaran awal pagi tadi. - Foto Instagram Istana Negara

KUALA LIPIS – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini melakukan lawatan mengejut ke Kampung Baru Cina di Benta, Kuala Lipis di mana 22 orang tinggal sehelai sepinggang selepas kebakaran awal pagi tadi.

Seri Paduka berangkat ke Benta sejurus selepas menerima keberangkatan tiba Raja-raja ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-255 di Istana Negara di Kuala Lumpur, pagi ini.

Tuanku tiba dengan helikopter di padang Sekolah Kebangsaan Benta pada pukul 11.53 pagi sebelum sampai di kampung itu yang terletak berdekatan pada kira-kira pukul 12 tengah hari menggunakan sebuah kenderaan SUV yang menunggu baginda.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 1.08 pagi tadi, sebanyak 15 buah rumah di kampung itu musnah dalam kebakaran namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pada kunjungan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah mengingatkan rakyat agar berwaspada dan memberi perhatian kepada bangunan lama dan usang terutamanya pada aspek pendawaian elektrik yang boleh mendatangkan kemudaratan.

“Walaupun semua penghuni rumah selamat, ia merupakan peringatan kepada kita tentang betapa bahayanya kejadian ini yang boleh berlaku bila-bila masa sahaja jika kita tidak berhati-hati,” titah Tuanku.

Seri Paduka turut menzahirkan simpati dan berharap keluarga mangsa yang terlibat bersabar dan agar semua pihak sama-sama memberikan bantuan.

“Pihak pejabat daerah dan pejabat yang berkaitan akan membuat laporan yang sewajarnya dan kita akan usahakan untuk mencari sumber-sumber untuk boleh kita baiki harta-harta (yang musnah) dalam kebakaran ini,” titah Tuanku.

Pada kunjungan itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa serta meninjau kawasan kediaman yang terbakar.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Nor Hisham Mohammad ketika ditemui di tempat sama berkata punca kejadian masih dalam siasatan dan akan diketahui dalam waktu terdekat.

— BERNAMA