Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) diiringi Menteri Pendidikan, Maszlee Malik (kiri) dan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (kanan) berucap pada Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Tahun 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 30 OKTOBER 2019

PUTRAJAYA – Kebolehpasaran graduan merupakan isu yang perlu diberi perhatian dengan menguasai bahasa Inggeris dan kekurangan kemahiran pelbagai yang diperlukan oleh industri.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bagaimanapun berkata, isu yang paling utama adalah mentaliti dan sikap pelajar.

Jelas beliau, pelajar perlu berdaya kreatif, inovatif dan sentiasa merebut peluang adalah kunci untuk menghadirkan suasana ekonomi yang sangat mencabar.

“Antara perancangan strategik KPM dan antara yang paling ditekankan ialah jalan ke hadapan untuk kita bergerak.

“Saya jelaskan keperluan untuk kita bergerak secara triparti iaitu universiti, industri dan masyarakat.

“Ketiga-tiga ini perlu bergabung dan semua reformasi harus mengambil kira keperluan ketiga-tiga pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPKK) di Pusat Konvensyen Antarabangsa di sini hari ini.

Turut hadir, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Maszlee menambah, kerajaan telah menganjurkan pelbagai program seperti AlxCHANGE, 2u2i (dua tahun di universiti dan dua tahun dalam industri) dan Gap Year selain program-program  pelbagai peringkat nasional dan antarabangsa seperti Kembara Siswa Patriotik, Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu, Persidangan Antarabangsa Pelajar dan Pelajar Kurang Upaya Pembangunan, Festival Budaya Antarabangsa dan sebagainya.

Jelas beliau, semua program itu akan terus diperkasakan untuk terus menghubungkan universiti dengan industri, dan universiti dengan masyarakat.

“Terus-terang saya katakan, saya sedikit kesal apabila dalam banyak dialog sesi saya dan pelajar, yang sering diminta saya adalah bantuan wang.

“Saya memahami pergelutan yang dihadapi dan kita di kerajaan sedang melihat isu ini secara serius. Sebab itulah kita menubuhkan kesatuan pelajar.

“Secara beroperasi, kesatuan pelajar ini akan mengurus bisnes dan perniagaan mereka sendiri dalam universiti dan ini sekali gus akan menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat yang memerlukan.

“Penghujungnya, kesatuan pelajar juga akan menjadi medan para pelajar kita melatih diri dan meraih pelbagai kemahiran yang akan mereka perlukan untuk memasuki alam pekerjaan,” katanya. – MalaysiaGazette