Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan sekiranya kerajaan menjual PLUS Expressway Bhd. (PLUS) kepada syarikat swasta, pastinya tol tidak akan dapat dihapuskan.

Justeru itu, beliau berkata, pengambilialihan syarikat konsesi itu dakan menyaksikan kadar tol akan dikekalkan kerana syarikat swasta berorientasikan kepada keuntungan semata-mata.

“Khazanah memiliki (kepentingan dalam ) PLUS (sebanyak) 51 peratus dan KWSP (sebanyak) 49 peratus, kenapa nak swastakan ia?

“Kita tak mahu memberi beban kepada rakyat dan pengguna jalan raya. Itu dalam manifesto kita. Kita akan berbincang dengan syarikat-syarikat konsesi untuk mengurangkan bebanan pengguna jalan raya.

“Tapi kalau anda jual PLUS kepada pihak swasta yang akan kenakan tol, naikkan kadar tol, ia tak memenuhi kehendak manifesto kita,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Khazanah Nasional Bhd hari ini tetap menegaskan pihaknya tidak berminat untuk menjual PLUS.

“Kami tidak berminat untuk menjual aset tersebut dan kami sebenarnya tidak mendapat apa-apa jenis proses bidaan,” kata Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak Korporat Permodalan Nasional Bhd (PNB) 2019, hari ini.

Tambah Azmin, swasta berbeza dengan kerajaan kerana lazimnya pihak swasta mahu membeli sesuatu yang boleh mendatangkan keuntungan kepada mereka.

“Kita bukan soal keuntungan. Khazanah dan KWSP nak berikan khidmat kepada pengguna jalan raya.

“Kecuali ada pihak swasta yang nak beli PLUS tapi dia nak hapuskan tol. Semoga berjaya kepada anda kalau boleh dapat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast