PONTIAN – Calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini menjadikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pencetus semangatnya untuk terus berkhidmat kepada rakyat meskipun pihak pembangkang mempersendakan usianya.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai itu sebaliknya menganggap semua “usikan” itu sebagai cabarannya untuk lebih bekerja keras memenangi hati pengundi seterusnya menjalankan perkhidmatan terbaik untuk masyarakat setempat.

Karmaine, 66, diumumkan sebagai calon PH-Bersatu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam satu majlis pada Isnin.

“Dalam politik, umur bukan penghalang. Di mana-mana, pemimpin dunia pun, kalau tengok bukan muda-muda.

“(Malah) lagi mendorong saya untuk menjadi lebih kuat. Itu (usia 66) tak jadi apa dan tidak melemahkan semangat saya untuk berjuang, pasal bos saya (Tun Dr Mahathir Mohamad) pun 94 tahun, jadi saya rasa tidak mustahillah…saya boleh lakukan,” kata beliau ketika ditemui di Pusat Khidmat Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kukup, Pontian, di sini, hari ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohammad ketika berucap pada majlis pelancaran jentera pilihan raya BN bagi PRK berkenaan pada Isnin berkata beliau berharap tiada lagi PRK perlu diadakan selepas ini.

“Calon mereka, saya kira (berusia) 66 tahun, tahun depan 67 tahun. Saya harap kita tiada PRK lagi,” katanya yang juga Pengerusi UMNO Johor pada majlis berkenaan yang dirasmikan oleh Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Meskipun dipersenda mengenai umurnya oleh “rakan lama”, Karmaine mengganggap sindiran itu sebagai satu cabaran untuk membuktikan keupayaan beliau untuk menggalas harapan parti serta membantu masyarakat setempat.

“Saya rasa ini adalah satu cabaranlah kepada saya kerana faktor umur yang dipertikaikan oleh rakan sendiri sebenarnya (Hasni).

“Hasni pernah jadi ketua bahagian saya masa dalam Umno…kalau dia pertikaikan umur saya tidak boleh jalankan tanggungjawab, insya Allah saya akan buktikan, saya boleh jalankan tugas dengan sebaiknya,” kata Karmaine, yang juga seorang imam bertauliah dan bertugas di Masjid Al-Muttaqin di Taman Sutera, dekat Perling, Johor.

Mengenai dakwaan miliki sijil palsu, Karmaine berkata beliau memperolehi Diploma Lanjutan Seni Bina itu pada tahun 80an, sewaktu Universiti Teknologi Mara (UiTM) ketika itu dikenali sebagai Institut Teknologi Mara (ITM).

Kelulusan berkenaan yang setaraf dengan Sarjana Muda (Ijazah) yang membolehkan beliau menjadi arkitek di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur selepas itu.- BERNAMA