Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin yang mengeluarkan kenyataan presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya melupakan isu peralihan kepimpinan ditempelak ahli parti sendiri.

Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Shariful Azmir Mustafa mendakwa Zuraida sebenarnya yang perlu move on kerana didapati gagal untuk menafikan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

“Saya berasa pelik hari ini Zuraida yang meminta Datuk Seri Anwar untuk move on. Setahu saya, Anwar dah lama move on malah beliau tidak sedikit pun goyah dan sering menyatakan isu peralihan kuasa telah selesai.

“Adakah Zuraida swing kerana sudah tidak ada jalan untuk menggagalkan pelan peralihan kuasa terhadap Anwar?” soal Shariful dalam satu kenyataan hari ini.

Shariful turut berkata terdapat perjanjian antara Anwar dan Mahathir yang dimeterai dalam PH untuk mengangkat Ahli Parlimen Port Dickson itu sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8.

“Mahathir pernah menyatakan mengikut perjanjian beliau hanya menjadi Perdana Menteri tidak lebih dua tahun. Namun antara yang sering mempersoalkan adalah Zuraida, Azmin serta puak-puak mereka. Merekalah yang sering mengungkit isu peralihan kuasa.

“Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin baru baru ini menegaskan Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri ke-8. Presiden Amanah, Mohamad Sabu juga menyatakan parti itu kekal dengan perjanjian mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 begitu juga DAP,” katanya lagi.

Semalam, Ketua Wanita PH itu berkata, isu dakwaan Anwar bahawa ada cubaan khianat dalam menidakkan jawatan Perdana Menteri tidak berbangkit.

“Kita dah tak nak sentuh isu ini. Tiada lagi isu PM8, pengkhianatan.

“Kita kena move on dan mula buat kerja dan fokus kepada ekonomi dan beri servis kepada rakyat,” katanya dalam satu sidang media semalam.

Anwar yang berada di Sabah pada Isnin lalu mengakui ada “percubaan khianat” untuk menghalangnya dari menggantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Isu ganti PM, Anwar tolong move on – Zuraida