Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pimpinan tertinggi Pas hari ini menafikan dakwaan Pas Johor yang pihaknya diarah menyediakan calon simpanan menjelang penamaan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Sabtu ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas tidak ada mengeluarkan arahan sedemikian kerana pihaknya telah memuktamadkan tidak akan meletakan calon di kawasan itu.

“Tidak ada (arahan beri calon simpanan), kita sudah jelaskan kita tidak akan sediakan calon untuk PRK Tanjung Piai. Calon simpanan tidak ada dalam istilah pilihan raya.

“Cuma yang berlaku adalah calon menunggu jika ada sesuatu kes yang berlaku kepada calon daripada Muafakat Nasional. Saya rasa tidak timbul mengenai calon simpanan. Tidak betul dakwaan itu,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, media melaporkan bahawa Pas Johor diarah menyediakan calon simpanan sebagai ‘langkah berjaga-jaga’ jika berlaku perkara luar jangka termasuk pembatalan calon saat-saat akhir atas sebab teknikal.

Laporan sumber itu turut berkata, pihak Pas negeri itu sedang menyediakan calon seperti diarahkan dan sudah mengenal pasti ahlinya yang layak serta berwibawa bagi dicalonkan pada PRK Parlimen Tanjung Piai.

“Pas sedang bersiap-sedia dan calon simpanan sudah diarah bersedia sebagai ‘langkah berjaga-jaga’.

“Segala kemungkinan boleh berlaku dan tiada yang mustahil apatah lagi jika berlaku isu teknikal membawa kepada pembatalan calon.

“Kita tidak mahu isu teknikal menjejaskan peluang calon dan tidak rela memberikan kemenangan percuma kepada Pakatan Harapan (PH),” demikan menurut laporan Berita Harian Online.

Perkara itu menjadi tanda tanya ramai apabila Pas menerusi Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan parti itu bersetuju dengan calon yang dikemukakan BN bagi PRK Parlimen Tanjung Piai.

Takiyuddin dalam kenyataan di sini berkata, nama Datuk Seri Wee Jeck Seng dari MCA yang dipilih oleh BN telah dipersetujui oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. -MalaysiaGazette