TERKINI : 12 Suspek Termasuk ADUN Didakwa “Kaitan Kumpulan Pengganas LTTE”

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G. Saminathan salah seorang daripada empat suspek yang dihadapkan semula ke Mahkamah Sesyen hari ini atas dakwaan baharu mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Mengikut kertas pertuduhan, Saminathan, 34, didakwa memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas itu menerusi Facebook menggunakan nama ‘Gsami Nathan Siva’.

Selain Saminathan, pemandu teksi, V. Balamurugan, 37, penghantar surat, S. Teeran, 38 dan peniaga besi buruk, A. Kalaimughilan, 28 masing-masing didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE menggunakan aplikasi sosial Facebook atas nama berlainan.