Helikopter tempur ringan, MD530G

KUALA LUMPUR – Kerajan sedang mengkaji maklumat dan maklumbalas yang diterima dari semua pemegang taruh bagi memuktamadkan hala tuju perolehan enam buah helikopter tempur ringan, MD530G, yang mengalami kelewatan penghantaran.

Kelewatan penghanatar berlaku berikutan timbul pelbagai isu teknikal yang berkaitan dengan Syarikat Pembuat Asal (OEM).

Menurut Kementerian Pertahanan, kerajaan telah mengenal pasti beberapa opsyen yang boleh diambil bagi menangani permasalahan perolehan itu dan akan memastikan keputusan yang diambil hanya akan mengakibatkan kerugian paling minimum.

“Kerajaan juga tidak akan terpengaruh dengan tekanan dari mana-mana pihak mengenai perolehan ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, kerajaan telah mengkaji semula kesesuaian alatan serta spesifikasi semasa pembinaan helikopter itu dan mendapati pindaan dan perubahan perlu dilakukan agar helikopter yang diterima memenuhi keperluan agensi.

Tambahnya, berdasarkan kontrak asal, syarikat telah gagal mematuhi obligasi utamanya iaitu menghantar enam buah helikopter.

“Tarikh penghantaran bagi helikopter tersebut juga telah dipinda sebanyak tiga kali, namun tiada sebuah helikopter pun yang telah diserahkan kepada Kerajaan sehingga hari ini,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu, kerajaan pula telah memenuhi obligasi dengan membuat pembayaran kepada syarikat terbabit sebanyak RM112.6 juta, bersamaan dengan 35 peratus daripada RM321.9 juta nilai keseluruhan kontrak iaitu sehingga bayaran milestone ke-6. – MalaysiaGazette