Bekas Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua kiri) bersalaman dengan penduduk pada Program Santai Bersama Masyarakat sempena Pilihan Raya Kecil P.165 Tanjung Piai di Bilik Gerakan Barisan Nasional (PDM) Andek Mori, Kukup, Johor. foto SYAFIQ AMBAK, 01 NOVEMBER 2019

KUKUP – Penyokong Barisan Nasional (BN) menerima baik calon MCA pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai 16 November ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, calon yang diketengahkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu nampak positif dalam usaha untuk mengembalikan kerusi tersebut kepada BN.

Beliau berkata, walaupun penyokong-penyokong BN pada mulanya menuntut calon UMNO dipilih kini mereka boleh menerima bekas penyandang kerusi itu.

Untuk rekod Datuk Seri Wee Jeck Seng menyandang kerusi itu selama 3 penggal sejak 2004 sebelum tewas kepada Datuk Dr.Md Farid Md Rafik dengan majoriti 524 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Wee Jeck Seng nampak semakin positif. Penyokong-penyokong BN walaupun pada mulannya mereka menuntut pada calon UMNO tapi nampaknya mereka boleh menerima keputusan yang dibuat pucuk pimpinanan Barisan Nasional untuk memilih calon MCA mewakili Barisan Nasional.

“Kerana ini adalah keputusan yang boleh menjamin kemenangan untuk BN, pilihan yang memberi peluang yang terbaik untuk kita menang dan menunjukkan bahawa BN adalah parti berjiwa besar, terbuka bahawa kita mengambil kira kepentingan semua kaum.

“Juga untuk membuktikan bahawa kita (BN) ini bukan rasis, tidak ada pertimbangan yang sempit tapi sebaliknya kita akan berjuang untuk memberi kesejahteraan kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada Program Santai Bersama Masyarakat sempena PRK Tanjung Piai dan penamaan calon yang akan diadakan pagi Sabtu esok di Dewan Jubli Intan, Daerah Pontian.

Tambahnya, aspirasi BN berjuang untuk semua lapisan masyrakat merupakan semangat yang akan membawa kejayaan BN sebagai sebuah parti berjaya.

“Inilah mesej yang kita cuba terapkan di peringkat akar umbi pada semua pengundi dan saya yakin dan percaya mereka akan terima ini sebagai satu yang untuk kebaikan.

“Ini bukan sahaja demi kebaikan Barisan Nasional tetapi juga untuk menunjukkan bahawa rakyat hendakkan perubahan kepada negara kita,” ujarnya.

PRK diadakan di Tanjung Piai selepas penyandangnya dari PH, Mohd Farid yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia akibat serangan jantung pada 21 September lalu. – MalaysiaGazette