Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun bercakap kepada media selepas meninjau persiapan akhir Pusat Penamaan Calon PRK P.165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 01 NOVEMBER 2019.

PONTIAN – Parti-parti politik dan juga calon yang terbabit dengan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai esok, diingatkan agar menjaga tingkah laku penyokong masing-masing.

Ia bertujuan bagi memastikan proses penamaan itu berjalan lancar tanpa adanya sebarang gangguan mahupun ketegangan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, lebih 400 anggota polis akan ditugaskan bagi menjaga keselamatan sepanjang tempoh penamaan calon berkenaan.

“Mengikut undang-undang mereka (calon) boleh membawa seberapa ramai penyokong tetapi saya rasa tanggungjawab untuk menjaga penyokong agar keadaan tidak huru hara atau penyokong melakukan apa-apa ketegangan adalah pada pihak berkenaan iaitu mereka yang membawa penyokong.

“Mereka yang perlu bertanggungjawab tetapi SPR dengan kerjasama polis, kita pun akan berusaha melancarkan hari pencalonan, untuk menjaga ketenteraman awam,” katanya selepas melakukan tinjauan akhir di Pusat Penamaan Calon PRK itu di Dewan Jubli Intan hari ini.

Turut sama Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar; Pengarah SPR negeri Shafie Taib dan Ketua Polis Daerah Pontian Superitendan Mustafa Bakri Salleh.

Menurut Azhar, Malaysia sedang menuju ke arah proses demokrasi yang lebih matang dan justeru itu kepimpinan dan tanggungjawab calon politik seperti itu amat diperlukan.

Dalam perkembangan lain, Azhar berkata, SPR sudah memohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya membuka markas sementara, sempena pilihan raya berkenaan.

Langkah itu katanya, bagi membolehkan SPRM meneliti dan membanteras apa jua perbuatan rasuah berkaitan pengundian.

“Dari PRK Parlimen Cameron Highlands, MACC (SPRM) sudi dan setuju untuk membuka markas sementara dan menempatkan pegawai mereka untuk tujuan itu,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai persiapan hari penamaan tersebut Azhar berkata, semuanya berjalan lancar dengan 65 petugas SPR akan bertugas di pusat penamaan calon esok.

Pengundian PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan 16 November ini manakala pengundian awal pula 12 November.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pada PRU14, Dr Md Farid memenangi kerusi Parlimen itu, mewakili Pakatan Harapan dengan memperoleh 21,255 undi menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman (2,962 undi). – MalaysiaGazette