Calon Barisan Nasional, Datuk Dr. Wee Jack Seng (kiri) bersama Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien (dua kiri) beramah mesra dengan pekerja Marrybrown yang merupakan pengundi ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Pekan Permas Kukup, Pontian. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2019.

KUKUP – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dianggap sebagai satu ujian kepada Barisan Nasional (BN) untuk menebus kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kekalahan yang dialami BN hingga mengggadaikan Johor kepada Pakatan Harapan pada PRU lalu mungkin disebabkan kelemahan yang ada pada parti berkenaan yang dilihat oleh rakyat negeri itu.

Justeru beliau berkata, PRK Tanjung Piai boleh dijadikan sebagai ruang untuk menebus kesilapan yang pernah dilakukan oleh BN dan ia merupakan pengajaran yang dinilai oleh rakyat.

“PRK Tanjung Piai merupakan ujian yang cukup penting untuk kita buktikan kepada orang ramai bahawa ini kearah yang membina dan kalau ia dapat diterjemahkan dengan sokongan dan kemenangan calon kita, saya rasa ini mungkin permulaan kebangkitan di Johor ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi walkabout bersama calon BN, Datuk Dr Wee Jeck Seng di Pekan Permas di sini hari ini.

Mengulas lanjut Hishammuddin berkata, PRK Tanjung Piai merupakan satu wadah dan pra syarat kepada BN untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan ia turut diterjemahkan dengan sokongan diperingkat akar umbi.

Ujarnya, perkenalan dan keakraban beliau dengan calon BN yang sememangnya telah lama terjalin boleh menjadi platform kepada pengundi di Tanjung Piai untuk memilihnya sebagai wakil rakyat mereka ditambah pula Jeck Seng merupakan seorang yang mementingkan perkhidmatan kepada rakyat dan ia adalah mesej yang perlu diketengahkan.

Dalam pada itu Jeck Seng memberitahu, realiti yang berlaku pada hari ini dapat dilihat dan dinilai oleh rakyat di kawasan tersebut apabila Pakatan Harapan (PH) yang banyak berjanji semasa PRU lalu gagal melaksanakan segalanya.

Katanya, apa yang diterjemahkan oleh PH ketika ini bukanlah apa yang diminta oleh rakyat sebaliknya mereka mahukan bukti daripada apa yang dijanjikan.

“Dulu PRU yang lepas memang ini realiti, kita melihat kerajaan PH banyak janji tapi tak mampu tunaikan, maka rakyat boleh menilailah mana satu betul mana satu tak betul.

“Hari ini kita melihat kebanyakan mereka rasa bahawa cakap kosong itu bukan kehendak rakyat kita (pengundi Tanjung Piai),” ujarnya. – MalaysiaGazette