Karmaine Sardini (kanan) diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong (tengah) memakaikan lencana butang Pakatan Harapan kepada salah seorang penduduk ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Pekan Nanas, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 03 NOVEMBER 2019.

PEKAN NANAS – Pemimpin yang hanya bekerja atau berkhidmat untuk kaum tertentu sahaja tidak boleh menjadi wakil rakyat yang mewakili suara semua lapisan masyarakat.

Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini, 66, berkata, di Malaysia konsep pemimpin yang bekerja untuk kaum tertentu tidak wujud dan tidak akan berlaku.

“Kalau mentaliti macam itu, jika kamu pilih Cina takkan dia kerja untuk Cina (kaum) sahaja, kalau pilih Melayu takkan dia hanya berkhidmat untuk bangsa Melayu sahaja, di Malaysia kita tidak amalkan konsep macam itu.

“Konsep kita adalah Melayu kerja untuk semua termasuk Cina dan India. Kalau wakil rakyat Cina pun dia akan berkhidmat untuk semua termasuk komuniti Cina juga.

“Saya adalah wakil yang bekerja untuk semua kaum..memang itulah..kalau kamu hanya kerja untuk kaum tertentu sahaja itu bukan namanya wakil rakyat, itu wakil kelompok parti tertentu…aku tahu,” katanya kepada pemberita di sini.

Karmaine mengulas kenyataan Ahli Parlimen BN Pekan, Datuk Seri Najib Razak yang mahu pengundi supaya bijak memilih calon yang boleh menjadi wakil rakyat untuk semua kaum di kawasan mereka tetapi bukannya kerana calon itu Melayu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tidak guna memilih calon Melayu jika pemimpin di dalam parti yang diwakilinya tidak mengendahkan untung nasib bangsa Melayu.

Karmaine Sardini (dua kiri) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong (tengah) beramah mesra dengan penduduk ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Pekan Nanas, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 03 NOVEMBER 2019.

Terdahulu, Karmaine mengadakan walkabout di pasar pagi Pekan Nanas untuk memperkenalkan dirinya sebagai calon PH sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai pada 16 November ini.

Tambah calon PH itu, di kawasan Tanjung Piai sendiri kerajaan diwakili oleh  wakil rakyat Cina bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Pekan Nanas yang berkhidmat dan memperjuangkan  kebajikan semua kaum.

“Maka di Parlimen kita kena letakkan calon Melayu kerana mewakili parti kerajaan yang memerintah masa ini.

“Jadi diberi peluang kami mahu meneruskan aganda yang ditetapkan kerajaan dan dalam tiga, empat tahun lagi kita akan mendampingi semua lapisan masyarakat serta permasalahan mereka,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, beliau mengakui PRK Tanjung Piai penting untuk PH, berikutan itu Karmaine memikul beban dan tekanan besar untuk mempertahankan kerusi yang pernah disandang allahyarham Datuk Dr. Md.Farid Md Farik.

Ia penting untuk memastikan rakyat sentiasa menyokong segala aspirasi kerajaan PH dan kegagalan meraih sokongan akan membantutkan agenda pembangunan yang dilancarkan kerajaan.

“Tidak akan ada sesiapa yang hendak sampaikan agenda rakyat jika pembangkang menguasai kerusi Tanjung Piai ini,” ujarnya.

Ditanya perbezaan pengalaman bertanding Pilihan Raya Umum lalu di Parlimen Pontian dan PRK kali ini, Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai itu berkata, sebelum ini hanya sebahagian sahaja mengenalinya di Pontian.

“Oleh kerana saya orang sini,  asal Teluk Kerang jadi orang lebih mengenali saya.

“Sebelum ini mereka mungkin kenal nama tetapi tidak tahu rupa wajah,, jadi inilah peluang untuk saya turun padang bertemu penduduk setiap hari fasa awal kempen bertempoh 14 hari sehingga 15 November ini.

Karmaine berkata, beliau akan menggunakan jentera kerja dan pengalamannya untuk menyantuni pengundi bagi menangkis persepsi rakyat serta hebahan pembangkang kononnya pentadbiran PH hanya sepenggal dan gagal tunaikan janji manifesto.

Jelasnya, kerajaan PH baru berusia setahun setengah dan perlu diberi masa secukup untuk menangani segala masalah dan melaksanakan janjinya.

“Senang je, 60 tahun BN memerintah pun tak sempurna, jadi kita baru setahun setengah mentadbir negara berilah peluang kepada kita buktikan keberkesanannya, apatah manifesto di Johor lebih 100 peratus sudah dilaksanakan,” katanya. – MalaysiaGazette