KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka didagangkan berhati-hati minggu depan, dengan indeks utama cenderung meningkat ke paras antara 1,560 dan 1,610 mata kerana dipengaruhi faktor luaran, khususnya perkembangan perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Strategis pasaran AxiTrader Asia Pasifik Stephen Innes berkata, penggiat pasaran akan memantau perkembangan terbaru fasa satu perjanjian perdagangan, yang sebelum ini dijangka ditandatangani semasa sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Chile pada 16-17 Nov.

Walaupun sidang kemuncak itu dibatalkan berikutan rusuhan sosial yang berlaku di negara itu, Presiden AS Donald Trump, dalam catatan di twitter pada Khamis lepas, berkata usaha sedang dilakukan bagi mencari lokasi baharu untuk beliau dan Presiden China Xi Jinping menandatangani perjanjian itu.

“Saya masih optimistik fasa satu perjanjian itu akan ditandatangani, tetapi perbincangan perdagangan AS-China berusaha memberi keutamaan dalam perbincangan berkenaan, khususnya berkaitan dengan pelaksanaan tarif sedia ada.

“1,600 mata menawarkan paras rintangan yang ketara (untuk Bursa), tetapi saya fikir ujian sebenar mungkin pada minggu depan selagi fasa satu rundingan perdagangan tidak dibatalkan dan ringgit terus mengukuh berbanding yuan,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata, yuan China stabil dan semakin kukuh, dan keadaan itu akan memberi kesan positif di peringkat serantau.

Di dalam negara, beliau berkata, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM), yang mencadangkan gabungan faktor luaran dan dalaman akan memainkan peranan utama, juga akan memberi kesan terhadap sentimen tempatan pada minggu depan.

Mesyuarat MPC yang keenam dan terakhir untuk tahun ini dijadualkan pada 5 Nov.

BNM telah menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bsp) kepada 3.0 peratus pada mesyuarat ketiga pada 7 Mei, kali pertama sejak Julai 2016.

Innes berkata penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS sebanyak 25 bsp baru-baru ini menawarkan ruang kepada BNM untuk mengurangkan lagi OPR tetapi bank pusat itu dijangka menangguhkannya dan mungkin menurunkan OPR pada Januari untuk membolehkan aspek pengembangan ekonomi dalam belanjawan dilaksanakan.

“Saya fikir daya penarik pelaburan langsung asing dalam belanjawan adalah baik untuk aliran masuk kerana ia akan menarik lebih banyak perniagaan ke Asia dan baik untuk FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI),” katanya dan menurutnya kenaikan harga minyak sawit baru-baru ini akan terus merangsang sentimen tempatan.

Pada asas Jumaat-Jumaat, FBM KLCI naik 23.34 mata kepada 1,593.34 daripada 1,570 sebelumnya.

Pasaran tempatan diniagakan hanya empat hari kerana ditutup pada Isnin (28 Okt) sebagai ganti cuti umum Deepavali yang disambut pada 27 Okt.

Urus niaga pada minggu yang baru berakhir mencatatkan dagangan turun naik, terutamanya dipengaruhi perbincangan perdagangan AS-China dan penurunan kadar faedah oleh Fed yang telah memberi manfaat kepada seluruh Asia.

Di papan skor, Indeks FBM Emas melonjak 119.68 mata kepada 11,280.13, Indeks FBMT 100 meningkat 117.76 mata kepada 11,089.4 dan Indeks Syariah FBM Emas naik 25.8 mata kepada 11,824.38.

FBM 70 melonjak 141.34 mata kepada 13,939.92 dan Indeks FBM Ace meningkat 108.32 mata kepada 4,979.43.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 428.32 mata kepada 15,574.67, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.1 mata kepada 153.19, dan Indeks Perladangan meningkat 113.13 mata kepada 6,749.04.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 10.31 bilion unit bernilai RM7.94 bilion daripada 12.64 bilion unit bernilai RM8.35 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menurun kepada 7.03 bilion unit bernilai RM7.19 bilion daripada 8.06 bilion unit bernilai RM7.31 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran penyusut kepada 1.22 bilion unit bernilai RM204.69 juta daripada 1.63 bilion unit bernilai RM309.57 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 2.06 bilion unit bernilai RM546.45 juta daripada 2.94 bilion unit bernilai RM727.25 juta sebelumnya. – MalaysiaGazette