Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran (dua kanan) bersalaman dengan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali MIC di Dewan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 03 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai akan menjadi platform bagi membuktikan sejauh mana sokongan masyarakat Melayu terhadap Muafakat Nasional yang dimeterai oleh Pas dan UMNO.

Menurut Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, PRK kali ini juga boleh menjadi bukti sama ada undi orang Melayu akan diberikan kepada MCA ataupun kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang meletakkan calon Melayu berbanding Barisan Nasional (BN) yang mengetengahkan calon bukan Melayu.

“Tanjung Piai akan beri isyarat yang jelas kepada masyarakat umum bahawa penyatuan ummah (Muafakat Nasional) antara Pas dan UMNO akan membawa undi Melayu (kepada MCA) ataupun kepada Bersatu.

“Siapa yang menguasai undi Melayu, ini sangat menarik,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Rumah Terbuka Deepavali parti itu di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Muafakat Nasional antara Pas dan UMNO dimeterai oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 14 September lalu.

Dalam perjanjian itu, kedua-dua parti menjalinkan kerjasama sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, akan datang.

Bagaimanapun kedua-duanya tidak memperincikan mengenai pembahagian kerusi mahupun parti dominan dalam kerjasama itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Vigneswaran berkata, PRK Tanjung Piai akan menjadi kayu pengukur kepada janji-janji yang ditaburkan Pakatan Harapan (PH) kepada pengundi sebelum ini dikotakan.

Ujarnya, sekiranya menang di Tanjung Piai, BN boleh terus menjadi kumpulan pendesak agar PH menunaikan segala janji yang ditaburkan selama ini ditunaikan.

“Jika masyarakat hendak mendapatkan sesuatu daripada kerajaan, Tanjung Piai akan jadi kayu pengukur. Kalau masyarakat nak juga segala janji-janji yang ditabur PH ditunaikan, undilah BN.

“Kalau rakyat nak pastikan undang-undang yang dijanjikan dimansuhkan, rakyat kena undi BN.

“Undi BN tidak akan tukar kerajaan tapi akan jadi satu isyarat kepada kerajaan bahawa jangan mengambil mudah sokongan rakyat kerana undi boleh bertukar-tukar,” katanya lagi. -MalaysiaGazette