Calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia P.165 Tanjung Piai, Wendy Subramaniam (tengah) bersama penyokong melaungkan kata-kata semangat pada hari Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Kecil P.165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan,Pontian,Johor. foto SYAFIQ AMBAK, 02 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Pengundi tidak akan rugi jika mengundi Gerakan kerana seluruh jentera parti akan memberi tumpuan kepada satu-satunya kerusi yang ada jika Tanjung Piai dimenangi, kata calon Gerakan, Wendy Subramaniam.

“Dengan mengundi Gerakan, mereka bukan hanya mengundi seorang wakil rakyat Gerakan tetapi seluruh parti akan memberi sokongan kepada wakil rakyat tunggal ini untuk berkhidmat kepada pengundi Tanjung Piai.

“Gerakan menghantar wakilnya untuk bertanding kerana mahu menjadi kuasa ketiga, sekali gus menyemak dan mengimbang kerajaan,” katanya dalam wawancara dengan China Press.

Wendy berkata, Gerakan bukan sengaja “mengacau” dengan menyertai pilihan raya kecil, tetapi mahu memberi pilihan ketiga kepada pengundi.

“Ada orang berpendapat penyertaan Gerakan akan melarikan sedikit undi BN dan menipiskan peluang kemenangan Datuk Seri Wee Jack Seng.

“Tanggapan ini kurang adil buat Gerakan kerana sesiapa sahaja boleh bertanding dalam pilihan raya yang demokrasi.

“Gerakan juga mengumumkan calonnya lebih awal daripada BN. Kita menentukan calon sebelum Jack Seng diumumkan sebagai calon BN,” katanya.

Wendy berkata, Gerakan mengelak daripada bertanding sebelum ini kerana mahu pulih daripada kekalahan Pilihan Raya Umum Ke-14.

Beliau berkata, tinjauan di Tanjung Piai mendapati rakyat berdepan pelbagai masalah tempatan yang tidak diselesaikan kerajaan.

“Saya turut menerima rungutan bahawa keadaan ekonomi tidak baik, pasaran dingin dan kuasa beli pengguna merosot. Semua isu ini perlu diberi perhatian,” katanya. – MalaysiaGazette