P. Ramasamy

GEORGE TOWN –  Pendirian kerajaan negeri Pulau Pinang terhadap sekolah vernakular tidak berubah sama sekali biarpun terdapat pandangan daripada beberapa pihak bahawa sekolah berkenaan akan menjadi penghalang kepada perpaduan masyarakat Malaysia.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy berkata sekolah merupakan tempat untuk memupuk semangat dan nilai seperti kesamarataan, saling hormat-menghormati dan bertoleransi di kalangan murid yang berlainan bangsa, budaya serta agama.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak bahawa sekolah vernakular adalah penghalang kepada perpaduan masyarakat Malaysia.

“Berdasarkan rekod Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), populasi murid sekolah vernakular di negeri Pulau Pinang terdiri daripada pelbagai kaum iaitu seramai 3,552 orang pelajar selain daripada bangsa Cina dan India,” katanya semasa menjawab soalan M.Satees (PH-Bagan Dalam), pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Ramasamy yang juga ADUN Perai berkata rekod yang dikeluarkan JPN itu menunjukkan bahawa sekolah vernakular merupakan satu daripada platform bagi pembangunan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa.

“Kerajaan negeri sentiasa prihatin dan memberi bantuan kepada semua jenis sekolah termasuk sekolah vernakular di negeri Pulau Pinang di bawah program bantuan pendidikan setiap tahun. Pada tahun 2019, kerajaan negeri telah menyalurkan sebanyak RM8.4 juta kepada Sekolah Mubaligh/Cina/Persendirian dan RM2 juta kepada sekolah Tamil,” katanya.

Ramasamy berkata kerajaan negeri turut memberi perhatian khusus kepada pendidikan Agama Islam menerusi peruntukan tahunan sebanyak RM2.5 juta bagi Sekolah Agama Rakyat yang disalurkan sehingga ke Maahad Tahfiz, Tadika Islam dan Sekolah Pondok.

“Tambahan lagi, mulai tahun ini, sebanyak 170 buah Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan turut menerima peruntukan sebanyak RM3 juta daripada kerajaan negeri untuk tujuan pembaikan dan penyelenggaraan infrastruktur sekolah.

“Melalui penyaluran bantuan ini, kerajaan negeri berharap sekolah di Pulau Pinang dapat merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran, berdaya saing serta mempunyai sahsiah yang tinggi untuk terus memacu pembangunan sektor ekonomi Pulau Pinang.

— BERNAMA

1 Komen

  1. Thailand ,indonesia singapore berjaya mengenepikan perpecahan dgn sestem pendidikan mengapa malaysia terlalu lemah dlm pencegahan dari berantakan ?

Comments are closed.