Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini bercakap kepada media selepas sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Klinik Kesihatan Pekan Nanas, Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 04 NOVEMBER 2019.

PEKAN NANAS- Harga kelapa sawit jatuh jatuh bukannya disebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti dipermainkan pihak pembangkang.

Sebaliknya kata Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini, beliau hanya cuba menjelaskan bahawa beliau hanya membuat perbandingan harga turun naik nilai komoditi utama negara itu dengan zaman kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, apa yang cuba disampaikannya adalah harga sawit boleh turun dan naik pada bila-bila masa.

“Jadi saya cakap RM270 kena bersyukur. Dalam Islam, rezeki kita ada, ‘bersyukurlah’. Kalau banyak kita dapat, kita bersyukur. Kalau kurang itu rezeki kita dengan apa yang ada,” katanya ketika ditemui ramah mesra bersama pengundi Tanjung Piai di Klinik Kesihatan Pekan Nenas.

Semalam ketika berucap dalam ceramah umum PH di Penerok, Karmaine menasihatkan pekebun kecil supaya tidak cepat mengeluh mengenai kemerosotan harga kelapa sawit.

Tambah beliau, walaupun harga komoditi itu kini turun kepada RM270 satu tan, pekebun kecil perlu bersyukur kerana ia masih tinggi daripada RM87 satu tan pada zaman pemerintahan Barisan Nasional.

Dalam pada itu, Karmaine berkata, sekiranya permintaan tinggi tetapi pengeluaran rendah, harga komiditi itu akan berubah.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengenai dakwaan semasa zaman beliau memimpin BN kejatuhan harga komoditi itu tidak berada di bawah paras RM100 setan tetepi ia berlaku zaman pemerintahan perdana Menteri ketujuh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Karmaine meminta bekas perdana menteri itu merujuk semula kenyataannya yang tidak menyentuh namanya dengan kejatuhan harga kelapa sawit.

“Saya tak cakap Najib, saya hanya merujuk kepada kerjaaan lama iaitu BN dan membuat perbandingan dengan kerajaan baru,” katanya.

Semalam Najib dalam laman media sosial Facebooknya berkata, semasa beliau menjadi perdana menteri, harga sawit tidak pernah rendah RM87 satu tan. – MalaysiaGazette