Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang yakin polis dapat menahan ahli perniagaan paling dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low ke negara ini cuma andaian.

“Itu andaian (Ketua Polis Negara) tapi harapan (tangkap Jho Low) macam itulah,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Muhyiddin berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Abdul Hamid pada September lalu yang berharap dapat membawa pulang Jho Low selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Abdul Hamid hari ini mendedahkan terdapat pelbagai alasan tidak masuk akal diberikan oleh pihak berkuasa negara yang dipercayai menjadi lokasi persembunyian Jho Low termasuk mendakwa ahli perniagaan dalam buruan itu sudah membuat pembedahan wajah menyerupai beruang.

“Dia sudah mengubah rupa bentuk mukanya tetapi dia terus berada di negara itu dan mendakwa kononnya dia susah nak dikesan,” katanya memetik laporan Harian Metro Online.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan berputus asa untuk terus menjejaki Jho Low.

Kerajaan tidak akan berhenti mencari Jho Low sampai ke lubang cacing.

“Kita takkan berhenti sampai kita dapat kerjasama dari negara yang kita agak dimana dia berada, dan kalau ada kerjasama Interpol bantu, perkara tu akan dapat kita selesaikan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mendakwa sekurang-kurangnya RM18.9 bilion telah disalahgunakan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jho Low dituduh sebagai dalang transaksi wang haram yang disalurkan dari syarikat pelaburan negara itu. – MalaysiaGazette