Saksi iaitu Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

KUALA LUMPUR – Saksi kesembilan perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi enggan mengakui terlibat dengan konspirasi penyelewengan jutaan dana sebelum ini.

Shahrol yang juga bekas Ketua Eksekutif 1MDB dituduh melakukan konspirasi tersebut bersama-sama ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan Nik Faisal Ariff Kamil.

Peguambela yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika mengasak Shahrol menyoal bagaimanakah Nik Faisal boleh menyiapkan sebuah minit mesyuarat dengan lebih awal sebelum mesyuarat sebenar.

Bagaimanapun, Shahrol enggan mengakui pertanyaan mahupun dakwaan Muhammad Shafee sebaliknya mengatakan ia sekadar daripada tekaan liar oleh peguam mewakili mantan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak itu.

Shafee: Saya pelik juga bagaimana Jho Low dan Nik Faisal boleh agak apakah yang akan berlaku dalam mesyuarat yang belum diadakan selain daripada menyediakan minit mesyuarat lengkap dengan lebih awal.

Nik Faisal nampaknya ada kuasa ‘luar biasa’ di mana boleh mengagak sesuatu yang belum berlaku. Dia sudah menyediakan minit mesyuarat untuk 21 Julai 2010 sehari lebih awal.

Itu sememangnya satu bakat luar biasa pada saya bukan begitu?

Shahrol: Saya tidak pasti, mungkin juga pada pandangan saya ianya telah disediakan sejurus selepas perbicangan terlebih dahulu sebelum mesyuarat sebenar diadakan.

Shafee: Anda hanya membuat andaian sebegitu.

Shahrol: Samalah seperti kamu cuba meneka yang Nik Faisal mempunyai bakat luar biasa.

Shafee : Saya tidak meneka, saya bercakap berdasarkan dokumen yang ada.

Kamu seperti peribahasa Melayu, cuba tegakkan benang yang basah. Jelas sekali kamu seolah-olah berperanan seperti meletakkan Perdana Menteri dalam satu situasi compromised (terjejas).

Shahrol: Tidak setuju langsung.

Perbicaraan akan bersambung esok pagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah. –MalaysiaGazette