Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub. foto AFFAN FAUZI, 01 NOVEMBER 2019

KUKUP – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berjanji akan menyiasat dakwaan para nelayan di perairan Johor Selatan mereka telah dijanjikan wang ihsan sebanyak RM1,000.itu akan diselesaikan segera.

Salahuddin yang juga ahli Parlimen Pulai berkata, beliau akan menyemak tentang permohonan itu sama ada  janji RM1,000 itu diberikan oleh kerajaan negeri Johor.

“Saya akan berhubung dengan yang berhormat Menteri Besar Johor bagaimana kementerian dan kerajaan negeri dapat menunaikan jumlah yang diharapkan para nelayan kita.

“Saya rasa tidak ada masalah tentang itu, jadi mungkin tengahari ini saya akan berbincang dengan pihak menteri besar. Pihak kementerian sendiri telah ada sedikit peruntukan tambahan untuk kita sampaikan dalam bentuk bantuan kepada nelayan kita.

“Ini ekoran beberapa lawatan yang telah saya buat dan isu ini telah sampai ke pengatahuan saya. Hasil daripada itu kita dengan segera akan cuba mengatasi apa yang dituntut nelayan ini,” katanya kepada pemberita selepas walkabout di pasar pagi Pekan Serkat di sini pagi tadi.

Dalam perkembangan sama, Salahuddin meminta persatuan nelayan di kawasan Johor Selatan termasuk Tanjung Piai menyenaraikan jumlah nelayan secara tepat untuk proses pemutihan bagi memudahkan urusan pemberian bantuan yang ditagih nelayan.

Ditanya sama ada penyenaraian nelayan akan mengambil masa sebelum bantuan dapat disalurkan, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara itu berkata, beliau akan memastikan nelayan akan menikmati bantuan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, sama ada banyak atau sedikit wang saguhati itu yang diterima bergantung kepada jumlah yang akan ditentukan kerajaan selepas ini.

“Jadi kalau selesai sahaja perkara perolehan senarai nama nelayan dan pemutihan itu dengan segera kita akan tunaikan kepada para nelayan ini,” ujarnya lagi.

Ditanya sama ada wang saguhati tersebut disalurkan menerusi Tabung Yayasan Nelayan negeri Johor di bawah kerajaan BN sebelum ini, Salahuddin mengakuinya sambil menjelaskan pihaknya perlu menyemak sama ada tabung itu masih wujud atau sebaliknya.

“Ia (Tabung Yayasan) di bawah kerajaan terdahulu (BN) jadi kita kena tengok ia wujud atau tidak dan duit itu ke mana..ada atau tidak duit itu.

“Ini memerlukan kepada semakan yang teliti, sebab kita tak hendak berjanji seperti mana yang dulu kita tidak boleh nak tunaikan dan kita akan tunaikan berdasarkan kepada fakta-fakta dan kesahihan maklumat yang kita dapat.

“Dan bagi kementerian pertanian sendiri kita pastinya akan berikan (bantuan) kepada mereka yang berhak sebab itu kita buat benar-benar pemutihan walaupun saya sedar sebahagian daripada penerima dulu tak puas hati, marah dengan saya dan seumpamanya.

“Tapi saya harus bertangungjawab memutihkan senarai yang ada itu, jadi biarlah yang benar-benar berhak itu akan dapat pampasan mereka ataupun apa jua bantuan-bantuan yang diperlukan mereka,” tegasnya lagi.

Kira-kira 800 nelayan di kawasan Tanjung Piai di sini melahirkan rasa kecewa apabila wang saguhati yang pernah dinikmati oleh mereka sejak 2016, sumbangan kerajaan negeri masih belum diterima sehingga kini.

Walaupun telah dijanjikan beberapa kali dan mereka sepatutnya menerima wang tersebut pada awal Ramadan tahun lalu, namun ia hanya sekadar janji dan mereka terus menanti dengan penuh harapan.

Malah, kebanyakan mereka sangat memerlukan wang saguhati itu ekoran pendapatan mereka yang kini terjejas ditambah pula pelbagai insentif untuk nelayan telah dipotong oleh kerajaan.

Seorang nelayan, Zamdilaila Md Amin, 48, berkata, wang saguhati itu merupakan pemberian kerajaan negeri Johor di bawah Barisan Nasional ketika Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memegang jawatan Menteri Besar.

Ketika itu katanya, wang tersebut diberikan dengan jumlah sebanyak RM2,000 dan kemudiaan dikhabar akan dinaikkan kepada RM3,000.

Bagaimanapun, selepas pertukaran kerajaan negeri kepada Pakatan Harapan wang saguhati tidak dinaikkan malah, jumlahnya diturunkan pula kepada RM1,000. -MalaysiaGazette

Nelayan Tanjung Piai kecewa wang saguhati tidak diterima sejak zaman PH