Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (dua kiri) diringi Naib Presiden Pas, Idris Ahmad (kiri), dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan (kanan), Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad (dua kanan) melancarkan gimik pelancaran ketika Harakah Daily ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra Media bersama Presiden PAS dan Pelancaran Harakah Daily Versi Baru di Hotel EDC, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 05 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Zakat tidak boleh diberikan kepada kaum bukan Islam selagi semua umat Islam yang sepatutnya menerima zakat di sesuatu kawasan itu menerimanya.

Itu penjelasan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika ditanya mengenai pemberian zakat kepada orang bukan Islam yang dibangkitkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

“Zakat kena utamakan orang Islam dahulu, kalau sudah habis semua orang Islam terima zakat, ada baki baru boleh beri kepada orang bukan Islam.

“Ini melihat kepada kewajaran kerana zakat ini berkait dengan ibadah dan ia berkaitan juga dengan akidah orang Islam

“Namun Islam beri kelonggaran bila zakat itu sudah berlebihan dan orang Islam semua sudah terima zakat dan kita boleh beri kepada kalangan bukan Islam dalam konteks kemanusiaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Media bersama Presiden Pas hari ini.

Anwar sebelum ini mencadangkan institusi zakat melakukan pembaharuan dengan memperluaskan bantuan kepada orang bukan Islam.

Beliau berkata, dalam konteks masyarakat berbilang bangsa di Malaysia, tidak sesuai hanya masyarakat Islam dibantu tetapi penganut agama lain dipinggirkan.

Malah Mufti Perlis Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, negeri itu meluluskan fatwa membolehkan wang zakat diberi kepada bukan Muslim di bawah asnaf muallafah qulubuhum iaitu golongan yang ingin diharmonikan sikap dan persepsi mereka terhadap Islam.

Mengulas hubungan antara Pas dan parti lain dalam Gagasan Sejahtera, menurut Abdul Hadi, ia adalah satu kerjasama ta’awun yang longgar dan bukan kerjasama rapat sebagaimana konsep tahaluf siyasi.

Justeru itu, katanya, kerjasama antara Pas, Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) tidak berpandukan kepada syarat yang ketat dan ia cuma bergantung kepada budi bicara politik.

“Gagasan Sejahtera ialah hubungan ta’awun siyasi iaitu satu kerjasama yang longgar. Bukan bukan coalition tapi cooperation.

“Bukan hubungan yang bersandarkan syarat yang ketat… yang tak terikat, cumanya budi bicara dan dalam moral politik,” katanya lagi.

Abdul Hadi berkata demikian mengulas mengenai pertanyaan media berhubung status terkini gabungan itu.

Semalam, Ahli Parlimen Marang itu berkata, partinya akan mengkaji semula kerjasama dengan Berjasa ekoran tindakan parti itu meletakkan Presidennya, Datuk Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz bertanding di Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai.

Langkah untuk mengkaji semula kerjasama itu ia berikutan Berjasa bertidjakn melanggar keputusan yang dicapai oleh gagasan itu untuk tidak meletakkan calon dan menyokong calon MCA, Datuk Dr. Wee Jeck Seng.- MalaysiaGazette