Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai

PEKAN NANAS – Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau mengesyaki, tindakan yang diambil oleh tiga cawangan parti tersebut di Johor yang mengancam akan meninggalkan Gerakan merupakan perbuatan sabotaj yang dilakukan oleh “pihak lain”.

Beliau berkata, ahli Gerakan yang tidak bersetuju dengan perjuangan parti boleh bertindak demikian dan beliau sebagai presiden hanya boleh mengatakan “Selamat berjaya kepada mereka”.

Katanya, jika keputusan untuk keluar parti dibuat hanya semata-mata tidak bersetuju kerana Gerakan meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, mereka seharusnya melihat semula alasan tersebut yang disifatkan tidak munasabah.

“Siapa yang umum calon dahulu, selepas Pakatan Harapan umumkan calon mereka, baru kami umum untuk meletakkan Wendy Subramanam sebagai calon untuk Gerakan.

“Macam mana saya boleh tahu Barisan Nasional (BN) nak meletakkan siapa calon mereka. Siapa yang keluar kita pun tidak kisah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dominic berkata, langkah Gerakan meletakkan calon pada PRK itu adalah bagi memberi pilihan kepada pengundi Tanjung Piai bahawa mereka mempunyai alternatif lain jika tidak berminat lagi dengan Pakatan Harapan ataupun tidak mahu memilih BN.

Ini kerana katanya, mereka mempunyai hak untuk memilih pemimpin bagi membawa suara mereka dan disebabkan itu Gerakan cuba menjadi salah satu daripada pilihan buat mereka.

“Jika mereka tak boleh terima PH dan BN sokonglah parti Gerkan, pilih Gerakan untuk jadi suara ketiga,” ujarnya.

Semalam, seorang pemimpin Gerakan mendakwa, lebih 1,000 anggota parti daripada tiga cawangan akan keluar dari parti sebagai protes terhadap keputusan Gerakan untuk bertanding di PRK Tanjung Piai.

Difahamkan, ketiga-tiga cawangan itu ialah Rimba Terjun, Jalan Parit Masjid dan Jalan Johor. – MalaysiaGazette