KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)  dan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) hari ini menuntut agar Dewan Rakyat membuat usul mengutuk, seterusnya mengesahkan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sebagai gerakan haram.

Pengerusi UMMAH, Aminuddin Yahaya berkata, kerajaan perlu bertindak tegas dengan segera kerana mendakwa semakin ramai yang menyebarkan fahaman bahawa LTTE bukan gerakan ganas.

“Kita minta wakil-wakil yang ada hari ini bangkitkan dan terus bangkit isu ini di dalam Parlimen, biar diwartakan, ditimbulkan dalam Parlimen, disahkan dalam parlimen bahawa LTTE ini gerakan yang haram yang perlu diambil tindakan sesegera yang mungkin.

“Kita lihat penyokong-penyokong mereka sudah berani berkumpul dan keluar menyatakan bahawa mereka sebenarnya bukan pengganas, tetapi terbukti kenyataan mereka adalah penipuan semata-mata apabila polis telah berjaya mengeluarkan seluruh bukti kepada pemberita,” katanya pada sidang media ketika ditemui di Jalan Parlimen di sini hari ini.

Terdahulu ahli-ahli NGO itu berhimpun di Jalan Parlimen bagi menyerahkan memorandum ‘Selamatkan Malaysia Daripada Pengganas’.

Memorandum itu diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi; Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan  Ketua Whip Pakatan Harapan, Datuk Johari Abdul.

Dalam masa yang sama, Aminuddin menggesa 12 individu yang ditahan dan telah menghadapi pertuduhan menyokong gerakan tersebut dipenjarakan untuk tempoh yang lama berdasarkan bukti yang kukuh.

“Kita harap bukti kali ini cukup untuk menangkap mereka dan meletakkan mereka dalam penjara selama mungkin, biar kepala-kepala ini tidak lagi membuat hasutan kepada rakyat yang kononnya mereka nak menuntut kepada kebebasan. Ini bukan kebebasan, ini menjahanamkan negara,” tambahnya.

NGO itu akan membuat himpunan sekiranya tidak ada tindakan tegas daripada kerajaan dan pihak berkuasa untuk menghalang LTTE kembali bertapak dan berkembang dalam negara.

“Kalau tidak ada tindakan tegas daripda kerajaan, PDRM dan sebagainya kita tidak menolak kemungkinan kita akan ajak rakyat bangkit lagi kerana isu ini, isu anak bangsa kita, anak cucu kita sudah terancam,“katanya.

Menegaskan tuntutan ini tidak bermotifkan politik, Aminuddin berkata, isu itu penting kerana ia melibatkan keselamatan negara.

“Kita nak beritahu, ini bukan gerakan politik, ini gerakan menjaga keharmonian negara, kita bukan nak bawa isu politik, tetapi kita nak bawa isu keselamatan,” ujarnya.

Selain itu Aminuddin juga memberi amaran kepada Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas supaya tidak campur tangan dalam isu LTTE. – MalaysiaGazette