Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap kepada media pada Perhimpunan Bulan November 2019 di Kementerian Pengakutan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 05 NOVEMBER 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mempertahankan kerusi ahli majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) Kategori C untuk tempoh 2019 hingga 2022.

Menterinya, Anthony Loke berkata, kerusi itu penting kepada Malaysia bagi memastikan suara negara ini terus didengari sebagai penyumbang kepada salah satu pembuat dasar dan undang-undang maritim antarabangsa.

“Sebagai ahli majlis, sudah tentu ia akan meningkatkan profil negara kita dalam kalangan masyarakat antarabangsa

“Sebagai ahli majlis, kita boleh berperanan sebagai daripada segi undang-undang maritim, piawaian antarabangsa dan peraturan-peraturan berkenaan perkapalan.

“Kalau kita sebagai ahli majlis, kita ada suara kita. Sudah tentu kita berharap dapat mengekalkan kedudukan dalam ahli majlis tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan MOT hari ini.

Sebelum ini, Malaysia melalui MOT telah berjaya mempertahankan kerusi ahli majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di bawah Kategori III bagi penggal 2019 hingga 2022.

Dengan kejayaan yang sama, Malaysia telah berjaya mengekalkan keahlian dalam majlis berkenaan selama lima penggal berturut-turut bermula tahun 2007 sehingga tahun 2022.

Malaysia berada di tangga ke-11 selepas menerima 143 undi pada mesyuarat agung ICAO ke-40 yang berlangsung di Montreal, Kanada pada 28 September lalu hingga 4 Oktober lalu.

Menurut Anthony, sektor maritim sangat penting kepada negara di mana Malaysia yang terletak di tengah-tengah Selat Melaka dan Laut China Selatan menjadi laluan kepada banyak laluan kapal.

“Sektor maritim ini juga menyumbang kepada ekonomi negara kita dalam pelbagai sub sektor dan ia sesuatu yang sangat penting untuk perkembangan ekonomi negara.

“Eksport import negara kita bergantung kepada sektor maritim dan kita lihat juga banyak pelabuhan di negara ini yang mempunyai daya saing tinggi yang boleh dibangunkan lagi.

“Sebab itu profil negara kita sebagai ahli majlis IMO itu sangat penting untuk kita kembangkan sektor maritim,” katanya lagi. – MalaysiaGazette