KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) sedang dalam usaha penyediaan Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 (RMKe-12) yang akan dibentangkan di Parlimen pada Ogos 2020.

RMKe-12 merupakan fasa pertama bagi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB) yang bermatlamat supaya rakyat Malaysia secara keseluruhannya mengecapi taraf hidup wajar menjelang tahun 2030. RMKe-12 berasaskan kepada tiga dimensi, iaitu pemerkasaan ekonomi, kemampanan alam sekitar serta perekayasaan sosial dan disokong oleh alat dasar dan tadbir urus.

Ketiga-tiga dimensi ini juga akan dijajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG), di bawah Agenda 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN).

Kementerian itu berkata, kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil langkah yang sewajarnya untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara serta memastikan kesejahteraan dan kekayaan negara dapat dikongsi bersama oleh semua lapisan masyarakat.

Di samping itu, beberapa siri konsultasi telah diadakan, antaranya termasuk Persidangan Pelancaran Penyediaan RMKe-12 dan sesi libat urus bersama semua Kerajaan Negeri.

“Bagi membolehkan semua lapisan masyarakat mengemukakan cadangan dan pendapat mengenai hala tuju pembangunan negara, sebuah Laman Web Khas RMKe-12 telah diwujudkan.

Cadangan yang dikemukakan akan diperincikan sebelum dipertimbang sebagai input dalam penyediaan RMKe-12,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan di sini.

Sehubungan itu, pelbagai pihak termasuklah sektor swasta, akademia, badan bukan kerajaan dan rakyat adalah dipelawa untuk berkongsi cadangan melalui laman web khas di alamat rmke12.mea.gov.my dan menggunakan tanda pagar (hashtag) #RMKe12 di media sosial Facebook, Twitter dan Instagram.

Cadangan boleh dikemukakan mulai 5 November 2019 sehingga 31 Disember 2019. – MalaysiaGazette