Calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Wendy Subramaniam selepas menghadiri pada sidang media khas sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Bilik Operasi Gerakan, Pekan Nenas, Johor. foto AFFAN FAUZI, 05 NOVEMBER 2019

PEKAN NANAS – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta supaya bertindak adil kepada semua parti dan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Presiden parti Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau berkata, beliau hairan dengan tindakan SPR yang tidak membenarkan jentera partinya meletakkan gegantung di satu lokasi berhampiran pasar awam dan tepi jalan berdekatan masjid di sini.

Lebih menghairankan, poster-poster calon lain yang turut dipasang di kawasan sama tidak pula diturunkan, katanya.

Katanya, perkara itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pihaknya dan mahu SPR mengenakan perkara sama kepada pihak lain yang bertanding termasuk dari Pakatan Harapan.

“Kalau nak buat pastikan ia dilakukan secara adil kepada semua pihak yang bertanding pada PRK Tanjung Piai ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain Dominic berkata, Gerakan menyelar tindakan pihak-pihak tertentu yang telah menuduh bahawa parti itu ada menerima dana sebanyak RM1juta sebagai bayaran kerana meletakkan calon bagi mengurangkan undi calon Barisan Nasional (BN).

Ujarnya, tuduhan itu merupakan satu strategi politik kotor dan pihaknya menafikan perkara tersebut.

Sementara itu, calon Gerakan, Wendy Subramaniam melahirkan rasa kesal terhadap kewujudan sebuah poster yang menunjukkan gambarnya dijadikan boneka kepada Pakatan Harapan.

Ujarnya, poster tersebut telah tersebar sejak semalam di laman-laman sosial seperti Whatsapp dan Facebook dengan mendapat pelbagai komen daripada netizen.

Ujarnya, poster itu ditulis dengan perkataan “Undi Gerakan, Pakatan Harapan akan menang” dan ia cuba memanipulasikan wanita dan bersifat seksis.

“Sejak daripada penamaan calon lagi saya dah kata tidak akan menggunakan taktik menyerang peribadi calon parti lawan, tetapi akan menumpukan kepada perjuangan untuk membawa suara rakyat di Parlimen, Jadi perkara seperti ini tidak betul,” ujarnya.

Katanya, perkara itu akan dilapor kepada SPR ekoran ia terjadi ketika kempen PRK Parlimen itu sedang berlangsung.

“Kita tak mahu ada lagi gambar seperti ini diolah untuk memburukkan mana-mana pihak yang bertanding pada PRK ini.

“Oleh itu kita akan buat laporan kepada SPR, hari ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette