Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi

KUALA LUMPUR – Ketika meneliti dokumen demi dokumen yang ditunjukan kepada saksi ke-9 perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pihak pendakwaan dan pembelaan masing-masing terlopong seketika apabila mendengar pendedahan saksi kes itu.

Saksi yang merupakan bekas Ketua Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi mendedahkan dalam salah satu dokumen menunjukkan bagaimana Tareq Obaid telah ‘mempergunakan’ dana 1MDB yang dipinjamkan kepada syarikatnya, PetroSaudi International Ltd (PSI).

Tareq yang merupakan pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif PSI telah membelanjakan sekurang-kurangnya AS$17,000 (RM70,000) untuk kopi jenama Starbucks.

Pendedahan itu mendapat reaksi daripada pihak pendakwaan dan pembelaan ketika mereka sedang meneliti dokumen ‘jejak duit’ 1MDB yang di pinjamkan kepada PSI.

Timbalan Ketua Pendakwa, Datuk Seri Gopal Sri Raam berkata, ‘banyak betul dibelanjakan untuk kopi sahaja’.

Sebelum itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bertanyakan kepada Shahrol adakah benar Tareq bekerja untuk ahli perniagaan dalam buruan, Low Teak Jho atau Jho Low.

Namun saksi itu enggan memberikan jawapan, sebaliknya hanya berkata, beliau tidak boleh buat kesimpulan.

Shafee: Rata-rata dokumen-dokumen ini secara terang-terangan menunjukan Tarek Obaid bekerja untuk Jho Low.

Shahrol: Saya tidak boleh buat kesimpulan seperti itu. Apa yang saya boleh katakan adalah sebanyak 82 juta Swiss Francs (AS$83 juta) telah dipindahkan oleh Tarek ke akaun syarikat Jho Low. Itu sahaja yang saya boleh cakap.

Shafee: Apakah pegawai penyiasat tidak bertanyakan kepada kamu tentang apa yang telah terjadi dengan AS$500 juta yang telah 1MDB berikan sebagai pinjaman kepada PSI?

Shahrol: Sebenarnya kita tidak pula sehingga perincian begitu. Saya hanya ditunjukan ‘money trail’ peringkat tertinggi di mana ada wang telah di masukkan ke Good Star Limited dan juga ke akaun lain. Itu sahaja.

Selain itu, Shafee menyoal saksi adakah nombor telefon yang tertera dalam salah satu dokumen itu merupakan milik Tarek namun Shahrol menyatakan beliau tidak pasti.

Shafee: Anda kenal pasti nombor telefon siapakah ini?

Shahrol: Mungkin milik Tarek Obaid tetapi saya tidak boleh pastikan pula. Mengapa tidak kamu cuba sahaja telefon untuk pastikan nombor siapa itu?

Shafee: Saya rasa tidak ada orang yang akan jawab panggilan itu.

Perbicaraan masih lagi bderlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah. –MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.