Reaksi Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador selepas sidang media pada Majlis Pelancaran Buku Manual Siasatan dan Buku Arahan Penyiasatan PJSJK di Maktab PDRM, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 06 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador tidak terkejut dengan keputusan Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya P. Gunasekaran.

Beliau menjelaskan, mungkin ada beberapa isu teknikal yang membuatkan mahkamah menolak kertas pertuduhan terhadap Gunasekaran yang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara.

“Saya belum dapat lagi alasan mengapa mereka buat demikan, mungkin ada sebab tertentu. Saya tidak terkejut. Ini normal dalam siasatan polis. Saya tidak syaki apa-apa, mungkin ada isu teknikal.

“Mungkin ada sebab tertentu berhubung dengan keperluan perundangan yang belum dapat lagi,” katanya dalam sidang media di Maktab PDRM Kuala Lumpur hari ini.

Awal hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad mengemukakan permohonan itu dihadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua sebelum ini, Gunasekaran didakwa memiliki item berhubung kait LTTE di pejabat dan kediaman.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di nombor 2844, Jalan SJ 3/6B, Taman Seremban Jaya dan nombor 139, Kampung Baru Rahang, Seremban, masing-masing pada 9.58 pagi dan 11.50 pagi, 10 Oktober lalu.

Gunasekaran bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah dan diwakili barisan empat peguam yang diketuai RSN Rayer yang juga Ahli Parlimen Jelutong.

Sebelum ini Gunasekaran yang juga Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan dituduh masing-masing di Mahkamah Sesyen Melaka pada 29 Oktober kerana memberi sokongan kepada LTTE dan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Oktober, atas pertuduhan tambahan. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

LTTE: Dua pertuduhan terhadap ADUN Seremban Jaya batal