KUALA LUMPUR- Kakitangan Media Prima Bhd. yang akan diberhentikan bakal menerima pampasan yang adil mengikut perjanjian bersama kesatuan (Union Collective Agreements/CA).

Menurut konglomerat media itu, syarikat sedang bekerjasama dengan para pegawai kesatuan sekerja yang mewakili kakitangan anak-anak syarikatnya bagi melaksanakan pelan transformasi perniagaan yang diumumkan pada 1 November lalu.

Dalam satu kenyataan bersama, Media Prima bersama Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Cawangan NSTP; Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Akhbar (NUNW) Cawangan NSTP; Kesatuan Sekerja Kakitangan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (KSKSTMB); dan Kesatuan Eksekutif Sistem Televisyen Malaysia
Berhad (KESTMB) berkata, langkah tersebut adalah untuk memastikan proses pelaksanaannya dijalankan secara telus.

Ia juga bagi memastikan semua obligasi kepada warga kerja yang terlibat diberi keutamaan, katanya.

“Semua pihak telah mencapai kata sepakat bahawa warga kerja yang terlibat akan menerima pampasan yang adil dan saksama, mengikut undang-undang serta perjanjian bersama kesatuan (Union Collective Agreements) masing-masing,” kata mereka di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, selain pampasan yang adil dan saksama, Media Prima juga akan menyediakan khidmat sokongan kepada warga kerja termasuk perkhidmatan penempatan keluar
(outplacement) dan kaunseling kerjaya.

Baru-baru ini, Media Prima telah mengumumkan bahawa Kumpulan akan mengorak langkah ke fasa transformasi perniagaan yang seterusnya.

Ini melibatkan penukaran model perniagaan dan penstrukturan dalaman bagi membolehkan Kumpulan lebih berdaya saing dan mampan pada masa hadapan, berikutan suasana makro ekonomi yang tidak menentu dan gangguan perubahan lanskap media global dan domestik. – MalaysiaGazette