Suasana sepi sekitar Terminal Feri Antarabangsa Kukup tanpa kehadiran pengunjung selepas premis tidak beroperasi sejak Ogos lalu di Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 06 NOVEMBER 2019

KUKUP – Persekitaran Terminal Feri Antarabangsa Kukup Johor yang diharapkan masyarakat setempat dan pelancong untuk beroperasi tidak tercapai ekoran beberapa masalah.

Kenyataan calon Pakatan Harapan Pilihan Raya Perlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini bahawa terminal berkenaan akan dibuka hari ini menjdi topik hangat.

Ini kerana kemudahan tersebut belum boleh beroperasi seperti diakui Menteri Besar Johor, Datuk Sharuddin Jamal malam semalam apabila pihak kerajaan negeri dimaklumkan feri tidak dibenarkan berlabuh di Tanjung Balai, Indonesia ekoran hutang syarikat feri lama yang tidak lagi menguruskan perkhidmatan itu.

Temubual bersama penduduk, Mohamad Khairul Nor Haziq mengenai perkhidmatan Terminal Feri Antarabangsa Kukup yang masih belum beroperasi di Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 06 NOVEMBER 2019

Tinjauan MalaysiaGazette di lokasi mendapati berita itu ternyata mengecewakan masyarakat setempat yang mahukan terminal tersebut beroperasi secepat mungkin.

Mohamad Khairul Nor Haziq,18, dari Kampung Sungai Durian berkata, penutupan terminal feri itu mengakibatkan persekitaran dan suasana sekeliling hilang seri ekoran ketidakhadiran pelancong tempatan dan antarabangsa.

“Saya bekerja sebagai pelayan Restoran Makanan Laut Kukup di sini lebih setahun dan selepas terminal ini ditutup sejak 30 Ogos lalu kehadiran pengunjung terjejas berbanding beberapa bulan lalu. Ramai (pelancong) di hujung minggu, Jumaat dan Sabtu.

“Saya teruja dan bangga selepas dengar berita terminal akan dibuka hari ini tetapi terkejut selepas malam tadi Menteri Besar mengakui ia tidak boleh dibuka sebab kerajaan Indonesia tak benarkan,” katanya.

Suasana sepi sekitar Terminal Feri Antarabangsa Kukup tanpa kehadiran pengunjung selepas premis tidak beroperasi sejak Ogos lalu di Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 06 NOVEMBER 2019

Mohamad Khairul mengakui tempat berkenaan hilang seri dan merayu Dr. Sahruddin mengambil langkah drastik berunding dengan Indonesia untuk membuka segera operasi feri.

“Gembira lagi kalau Feri dapat operasi segera, harap Menteri Besar selesaikan masalah teknikal yang wujud,” katanya.

Temubual bersama penduduk, Md San Md Yunus mengenai perkhidmatan Terminal Feri Antarabangsa Kukup yang masih belum beroperasi di Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 06 NOVEMBER 2019

Dalam pada itu Md San Md Yunus, 64, yang merupakan pekebun sawit di Kampung Sungai Durian pula menyifatkan keadaan terminal feri berkenaan yang lenggang umpama ‘dilanggar burung garuda’.

Menurutnya, walaupun jeti telah dinaik taraf dan diberi wajah baharu suasana persekitarannya menyedihkan.

“Jeti pun dah siap naiktaraf kemudahan baharu, memang cantik tapi sunyi sepi kalau anda masuk sini kelmarin ia macam dilanggar garuda,” ujarnya.

Kata Md San, beliau sedih apabila mengenangkan nasib peniaga dan pekerja termasuk pemandu teksi di kawasan tersebut yang terjejas.

“Semasa beroperasi, feri boleh menampung 150 orang penumpang pada sekali perjalanan dan menguruskan enam perjalanan ke Tanjung Balai.

“Pada hujung minggu iaitu Jumaat dan Sabtu lagi ramai guna feri mengangkut orang Indonesia dan tempatan yang melancong ke kedua-dua lokasi bermula 8 pagi hingga perjalanan terkahir 5 petang.

“Walaupun calon cakap pagi semalam terminal akan dibuka hari ini tetapi MB kata Indonesia tidak membenarkannya. Kami tahu isu itu sebab pegawai Kastam dan Imigresen kenalan ramai.

“Saya harap Indonesia percepatkan proses feri dari Malaysia ke Indonesia,” katanya.

Temubual bersama penduduk, Lim Ah Choon mengenai perkhidmatan Terminal Feri Antarabangsa Kukup yang masih belum beroperasi di Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 06 NOVEMBER 2019

Pengusaha rumah penginapan, Lim Ah Choon berkata, dia hilang mata pencarian dan banyak berehat berikutan ketiadaan pengunjung ke terminal itu.

Berikutan itu, beliau merau agar terminal tersebut dibuka segera

Pekerja tempat letak kereta di terminal itu, Md Zain Halim, 58, kesal dengan nasib yang menimpa kemudahan berkenaan.

“Semalam calon cakap akan dibuka hari ini, tengok televisyen tapi sedih juga tak jadi, orang Indonesia yang berurusan di sini yang gembira dengan berita itu tapi bertukar kecewa selepas MB nyatakan Indonesia tak benarkan.

Temubual bersama penduduk, Md Zain Halim mengenai perkhidmatan Terminal Feri Antarabangsa Kukup yang masih belum beroperasi di Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 06 NOVEMBER 2019

“Pendapatan memang terjejas sebab sini ada pelbagai aktiviti pelancongan termasuk memancing hilang seri tanpa perkhidmatan feri.

“Kalaulah dia dapat buka (terminal) feri esok, lusa atau paling cepat sebelum hari mengundi lagi bagus kerana lepas undi mereka (pemimpin) akan sibuk, lupa.

“Satu lagi kehadiran peniaga apabila wujud urusan membeli belah dan ia kembali ceria sediakala seperti dulu,” katanya.-MalaysiaGazette