Hasrat YaPEIM membantu meringankan beban B40 telah disalahtafsirkan pihak tertentu berhubung inisiatif Inspirasiku.

KUALA LUMPUR – Sebagai menandakan komitmen kepada pelancaran Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) hari ini memperuntukkan sejumlah RM1 juta sebagai dana awal.

Menurut Pengerusi Lembaga Pemegang Amanahnya, Datuk Dr Mohd Daud Bakar, inisiatif terbaru YaPEIM itu bagi menyantuni nasib pelajar khususnya daripada kalangan B40.

“YaPEIM telah mengambil satu ketetapan iaitu yang pertama memperuntukkan dana awal berjumlah RM1 juta daripada sumber Tabung Amanah YaPEIM.

“Bersempena dengan hari yang bersejarah ini 6 November 2019, sebanyak 30 peratus daripada pendapatan upah simpan Ar Rahnu YaPEIM di semua 212 cawangan akan disumbangkan ke Dana Inspirasi Malaysia,” katanya dalam ucapan aluan pada majlis pelancaran Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), hari ini.

Hadir merasmikan pelancaran dana tersebut adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar berucap pada Majlis Pelancaran Inspirasiku Dana Inspirasi Malaysia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 06 NOVEMBER 2019

Selain daripada dana awal RM1 juta dan 30 peratus daripada pendapatan upah simpan Ar Rahnu itu, YaPEIM turut memperuntukkan RM1 bagi setiap 1 gram penjualan Produk YaPEIM Gold akan turut disumbangkan ke dana tersebut.

Dalam pada itu, Dr Mohd Daud berkata, YaPEIM menyasarkan menjana RM40 juta ke dalam dana Inspirasiku yang akan memberikan manfaat kepada hampir 40,000 pelajar sekolah dan IPT di seluruh negara.

Malah tambah beliau, sesiapa sahaja yang menyumbang di bawah skim korporat penyayang ini, akan diberikan perlepasan cukai pendapatan. – MalaysiaGazette