WASHINGTON – Dua bekas kakitangan Twitter telah didakwa di mahkamah Amerika Syarikat kerana melakukan perisikan untuk Arab Saudi.

Tuduhan itu dibuat di San Francisco, mendakwa ejen Arab Saudi mencari maklumat peribadi mengenai pengkritik negara tersebut dan pengguna Twitter lain.

Dokumen mahkamah yang diterbitkan oleh Washington Post menamakan kedua-duanya sebagai Ahmad Abouammo, warga negara Amerika Syarikat, dan Ali Alzabarah, dari Arab Saudi.

Tertuduh yang ketiga, warga Arab Saudi, Ahmed Almutairi, juga dituduh mengintip.

Almutairi didakwa bertindak sebagai perantara antara dua pekerja Twitter dan pegawai Arab Saudi.

Ahmad Abouammo muncul di Mahkamah Seattle pada hari Rabu dan ditahan sementara menunggu pendengaran semula pada hari Jumaat.

Dia juga didakwa memalsukan dokumen dan membuat kenyataan palsu kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Beliau juga dikatakan telah meninggalkan tugasnya sebagai pengurus perkongsian media Twitter pada tahun 2015.

Bagaimanapun, Ali Alzabarah dan Ahmed Almutairi, kedua-duanya kini dipercayai berada di Arab Saudi.

Alzabarah, adalah bekas jurutera Twitter dituduh mengakses data peribadi lebih daripada 6,000 pengguna Twitter pada 2015 selepas direkrut oleh ejen Saudi.

Kegiatannya kemudian diketahui oleh penyelia dan diberi cuti pentadbiran sebelum berlepas ke Arab Saudi bersama isteri dan anak perempuan, kata penyiasat.

Dalam satu kenyataan, Twitter mengakui perkara itu sambil menyifatkan mereka cuba menjejaskan perkhidmatannya.

Arab Saudi adalah sekutu utama Amerika Syarikat di Timur Tengah. – MalaysiaGazette