Pemain Perak, Brendan Gan Seng Ling (kanan) mengasak pemain Kedah FA, Muhammad Farhan Roslan (kiri) pada Perlawanan Akhir Piala FA 2019 Perak lawan Kedah FA di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JUALAI 2019

PETALING JAYA – Muhammad Farhan Roslan optimis pengalaman mematangkan beliau, dalam memburu tempat bersama skuad kebangsaan menjelang dua aksi getir Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, berdepan Thailand dan Indonesia, bulan ini.

Selepas lima tahun, pemain berusia 22 tahun itu kini mendapat peluang kedua untuk membuktikan kemampuannya di bawah ketua jurulatih Tan Cheng Hoe, yang juga merupakan individu bertanggungjawab membimbingnya ketika di Kedah satu ketika dahulu.

“Sewaktu 2014 saya belum ada pengalaman luas berbanding sekarang. Banyak saya belajar dalam lima tahun ini, dan musim ini juga saya kerap diturunkan sebagai pemain utama pasukan Kedah, jadi semua itu memberi pengalaman berguna kepada saya.

“Saya sudah biasa berada di bawah jurulatih Tan (Cheng Hoe), jadi bukan satu perkara sukar untuk membiasakan diri dengan corak permainan beliau, tetapi dalam skuad ini ramai pemain berkualiti jadi agak sengit untuk saya merebut tempat,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad Harimau Malaya di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, hari ini.

Muhammad Farhan yang diberi jolokan ‘Messi Kedah’ kerana kelincahannya masih gagal membuat penampilan di peringkat senior, sejak kali terakhir dipanggil menyertai kem latihan skuad kebangsaan di bawah kendalian Dollah Salleh pada 2014.

Malaysia akan berdepan Tajikistan dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini sebelum melayani kunjungan Thailand (14 Nov) dan Indonesia pada 19 Nov, dalam aksi kelayakan di venue sama.

Selepas tiga aksi pusingan kedua kempen kelayakan itu, Thailand berada di kedudukan teratas Kumpulan G, walaupun berkongsi tujuh mata dengan Vietnam, manakala Malaysia berada di tempat keempat dengan tiga mata.

Dalam pada itu, Muhammad Farhan berharap dapat diturunkan pada perlawanan menentang Tajikistan untuk mempamerkan kualiti permainan dimilikinya.

“Kalau saya diberi kepercayaan saya akan buat terbaik dalam perlawanan persahabatan itu dan buktikan kemampuan saya,” katanya.- BERNAMA