WASHINGTON – China dan Amerika Syarikat bersetuju untuk membatalkan tarif yang dikenakan ke atas barangan masing-masing dalam “fasa satu” sekiranya rundingan berjaya dimuktamadkan, demikian menurut pegawai-pegawai kanan kedua-dua pihak.

Kenyataan tersebut bagaimanapun menerima respons yang berbeza daripada penasihat-penasihat Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Menteri Perdagangan China berkata, kedua-dua negara telah bersetuju untuk membatalkan tarif-tarif berkenaan secara berperingkat.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan garis masa pelaksanaan rancangan tersebut.

Seorang pegawai kanan AS yang enggan mendedahkan identitinya mengesahkan pembatalan tarif tersebut bakal menjadi fasa pertama perjanjian perdagangan sekiranya berjaya dimuktamadkan.

Namun begitu, ianya masih lagi perlu ditandatangani oleh Trump dan Presiden Xi Jinping.

Jurucakap White House, Stephanie Grisham memberitahu Fox News Channel yang AS “sangat-sangat optimistik” untuk menyelesaikan rundingan yang telah berlanjutan selama 16 bulan itu.

“Saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai rundingan dengan China tetapi kami sangat-sangat optimistik akan memeterai perjanjian tidak lama lagi,” katanya.

Bagaimanapun pakar-pakar memberi amaran bahawa pakatan tersebut boleh gagal.

Menurut pegawai-pegawai kanan AS, masih banyak kerja-kerja yang perlu dilakukan apabila Trump mengumumkan garis panduan perjanjian interim bulan lepas.-MalaysiaGazette