Calon Bebas, Faridah Aryani Abd Ghaffar bercakap pada sidang media sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Serkat, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2019.

KUKUP – Calon bebas, Faridah Aryani Abdul Gaffar menjelaskan, pihaknya lambat untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai disebabkan faktor dana yang tidak memberangsangkan.

Malah, ia juga merupakan strategi bagi menjaga momentum jenteranya sebelum hari membuang undi pada 16 November nanti, katanya yang merupakan calon mewakili Gabungan Teksi Semenanjung Malaysia (GTSM).

Beliau yakin tempoh masa yang berbaki lapan hari dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk bertemu pengundi dan akan cuba bergerak ke semua 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang ada, katanya.

“Kami hadapi isu dari segi kewangan yang tidak mencukupi. Insyallah kami akan cukup masa untuk cover semua 27 PDM,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Faridah berkata, selain membela nasib pemandu teksi, perjuangannya mahu memastikan nasib golongan B40 tidak akan tersepit dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

Ditanya mengenai manifesto yang boleh dijadikan modal sebagai meyakinkan pengundi, Faridah Aryani berkata, beliau tidak berbuat demikian, sebaliknya hanya mengambil pendekatan dengan mengadakan program-program secara santai.

Ujarnya, dengan menggunakan dana yang diperoleh daripada korporat beliau akan memastikan jenteranya bergerak dengan sebaik mungkin.

Dalam pada itu, Faridah Aryani berkata, beliau yakin akan dapat menandingi calon bebas, Dr Ang Chuan Lock berdasarkan perkembangan positif daripada pertemuan dengan pengundi daripada kaum itu.

Ujarnya, beliau juga optimis tidak akan kehilangan wang deposit dan yakin pengundi Tanjung Piai akan menyebelahinya.

“Pengundi Cina setakat ini positif, mungkin sebab keadaan semasa sekarang. Mereka hendak benda yang lebih relaks, calon alternatif, berbeza dengan calon bebas seorang lagi.

“Mungkin boleh ada approach lain, dapat lihat pengundi Cina akan dapat kelebihan undi Cina neutral, yakin tidak hilang duit deposit,” tambah beliau. – MalaysiaGazette