KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli turun daripada kenderaannya kerana prihatin dengan kemalangan jalan raya yang berlaku.

Dalam video yang dimuatnaik dalam instagram Istana Negara kelihatan Seri Paduka menyeberang jalan dan melintasi penghadang jalan semata-mata bertanya khabar keadaan mangsa kemalangan.

Kejadian berlaku dalam perjalanan pulang Seri Paduka dari Mesyuarat Pra-Kabinet bersama Perdana Menteri di Putrajaya pagi ini.

“KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menuruni kenderaan rasmi baginda sebanyak dua kali untuk memeriksa keadaan dan bertanya khabar kepada pemandu-pemandu yang terlibat dalam kemalangan jalan raya,” kata kenyataan media sosial berkenaan hari ini.

Kemalangan pertama berlaku di Cyberjaya dan kedua berhampiran Plaza Tol MEX Putrajaya.

Justeru Seri Paduka menasihati kepada semua pemandu untuk memandu dengan berhati-hati ketika hujan lebat bagi mengelakkan kemalangan.-MalaysiaGazette