Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bergambar kenangan bersama Ketua Jurulatih Pasukan Tajikistan, Usmon Toshev (dua kanan), Ketua Pasukan Tajikistan, Nazarov Akhtam (kanan) dan Pemain Kebangsaan, Nor Azam Azih (kiri) pada sidang media menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa antara Malaysia dan Tajikistan pada 9 November 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Perlawanan persahabatan menentang Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil esok menjadi medan terbaik untuk pemain bagi menghadapi pertembungan dengan Thailand dan Indonesia dalam aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, ini kerana bukan mudah untuk berdepan dengan lawan yang memiliki ranking tinggi di dunia ketika ini.

Apatah lagi jelas beliau, Tajikistan memiliki pemain yang berkualiti daripada segi intensiti permainan dan lebih kuat daripada Malaysia.

“Saya harap pemain boleh belajar sesuatu daripada perlawanan esok kerana lawan mengamalkan corak permainan yang laju.

“Cuma saya harap mereka jangan berasa tertekan namun turun dengan keyakinan tinggi.

“Mereka perlu bermain satu pasukan di mana bertahan dan menyerang dalam satu unit,” katanya pada sidang media menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Turut hadir pemain tengah, Nor Azam Azih.

Tajikistan kini berada di tangga ke-116 dunia.

Dalam pada itu, Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan untuk memberikan peluang kepada pemain simpanan untuk membuktikan kemampuan mereka dalam aksi ujian tersebut.

Beliau menegaskan mahu mencari kombinasi terbaik dengan mencuba beberapa gandingan baharu dalam kesebelasan utama Harimau Malaya selepas beberapa tonggak baharu disenaraikan pada kem latihan kali ini.

Menurut Cheng Hoe, lebih penting, beliau mahu mengenalpasti pemain mana yang akan diturunkan pada perlawanan menentang Thailand dan Indonesia kelak.

Skuad Harimau Malaya yang menghuni tangga ke-158 wajib melakar kemenangan apabila berdepan skuad Gajah Perang dan skuad Garuda selepas sekadar menghuni kedudukan keempat kumpulan.

Tewas dalam dua aksi terdahulu kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam dengan 1-2 dan 0-1 menyaksikan pasukan negara sekadar mengumpul tiga mata yang diraih ketika menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi pertama.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan latihan pasukan, beliau mengakui berpuas hati dengan komitmen pemain namun mengharapkan prestasi pemain dapat ditingkatkan.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati, tetapi pemain kena tingkatkan prestasi bukan hanya dalam perlawanan menentang Tajikistan, tetapi Thailand dan Indonesia,” katanya. – MalaysiaGazette