Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini (kiri) bersalaman dan beramah mesra dengan sebahagian penduduk yang hadir pada Majlis Maulidur Rasul sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Pekan Nanas, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 09 NOVEMBER 2019

PEKAN NANAS – Calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini tidak kisah apabila Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tersasul cakap  beliau sebagai ‘arwah Haji Karmaine’ dalam ceramah kelompok di Kampung Sawah semalam.

Sebaliknya, calon PH itu dengan tenang menyifatkan kesilapan itu sebagai tidak disengajakan oleh Ketua Pemuda Pakatan Harapan dan yang tidak perlu diperbesarkan.

“Kesilapan..tidak mengapa.. saya tidak ada hal. Tidak mengapalah.

“Pada saya kadang kadang orang tersasul cakap kan.. tak ada masalah,” katanya ketika hadir Sambutan Maulidur Rasul di rumah bekas Imam Masjid di Pekan Nanas pagi tadi.

Ditanya sekiranya ada pihak yang cuba menjadikan ucapan Syed Saddiq itu sebagai modal kempen, beliau sekali lagi berkata,  ia adalah satu kesilapan sahaja.

“Saya terima benda itu sebagai satu kesilapan dan tidak ada masalah..kesilapan biasa, orang tersasul .. saya pun tak dengar macam mana sebut itu,”tegasnya lagi.- MalaysiaGazette